11 October 2010

Peneroka Desak Ahmad Tarik Balik Tuduhan



Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman hari ini mendesak Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menarik balik tuduhan tidak berasas terhadap peneroka Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) yang menguruskan kebun mereka sendiri yang digambarkan seperti hutan yang penuh dengan babi, ular sawa, tikus dan kumbang.

Mazlan berkata kenyataan Ahmad itu disifatkannya sebagai tidak bertanggunjawab dan tidak wajar sebagai seorang yang bergelar menteri.

Ahmad katanya turut mendakwa wang tanam semula RM17,000 diguna peneroka membeli motor, kereta dan membaiki rumah.

"Beliau mesti menarik balik kenyataan yang mengguris perasaan lebih 14,000 peneroka sawit yang mengurus kebun mereka secara persendirian dengan kadar segera.

"Jika tidak laporan polis besar-besaran akan dibuat di seluruh negara," tegas beliau.

Dalam pada itu, Mazlan turut mempersoalkan sama ada Felda memberi kebebasan kepada peneroka untuk mengurus kebun secara persendirian.

"Felda pada masa yang sama telah mengeluarkan pekeliling melarang peneroka berbuat demikian. Kalau tiada paksaan, kenapa agensi itu mengeluarkan pekeliling mengugut peneroka agar mencabut anak sawit yang telah ditanam secara persendirian?" soalnya.

Apa yang mengecewakan menurut beliau, terdapat peneroka yang telah menanam sendiri hampir 10 tahun, namun wang tanam semula yang dijanjikan tidak diperolehi.

"Kita mendesak Ahmad dan Felda jangan berdolak dalik, sebaliknya menjelaskan bayaran wang tanam semula dalam masa tiga bulan.

"3,000 peneroka di Pahang sekarang ini masih lagi menunggu wang tanam semula mereka. Jika mereka melunaskan janji tersebut, kita akan atur rombongan peneroka setiap minggu ke Ibu Pejabat Felda di jalan Semarak setiap minggu," katanya lagi.

Katanya, kumpulan pertama yang akan dihantar adalah dari Felda Gugusan Sungai Dusun Ulu Selangor yang dijanjikan wang tanam semula oleh Felda pada pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

"Jika tidak dapat wang tanam semula, peneroka tidak teragak-agak membawanya ke mahkamah.

"Mahkamah adalah jalan terakhir setelah perundingan yang dibuat begitu lama namun sehingga kini belum lagi dibayar," tegas Mazlan dalam sidang media yang diadakan bersama rombongan peneroka di lobi parlimen, hari ini.

Turut hadir dalam sidang tersebut, wakil-wakil peneroka yang menanam sendiri dan bekas kakitangan yang bekerja hampir 30 tahun Felda. SK

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese