11 October 2010

Datuk Seri Abdul Hadi - Majlis Kutipan Dana Kompleks Pendidikan & Dakwah Islamiah Besut





Banyak projek pembangunan pendidikan yang wujud pada hari ini gagal berperanan sebagai kilang untuk melahirkan manusia yang mengikut acuan Allah.

Justeru, masyarakat perlu memberi sokongan kepada usaha untuk mewujudkan pusat pendidikan Islam bagi membetulkan kehidupan manusia.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana ilmu Islam datangnya dari al-Quran yang membetulkan segala ilmu yang lain.

Sehubungan itu, katanya peranan untuk mewujudkan pusat pendidikan Islam adalah suatu perkara yang besar.

Ini, katanya kerana selama ini pusat ilmu Islam sering ditindas dan ditekan oleh pihak-pihak berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, mereka yang membantu usaha tersebut mendapat sumbangan yang besar di sisi Allah.

Abdul Hadi menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana bagi mengumpul dana Kompleks Pendidikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Kodim) berkenaan di pekarangan Masjid Kota Damansara, malam semalam.

Beliau mewakili Menteri Besar Kelantan selaku penaung Kodim, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak dapat hadir pada majlis berkenaan. Hadir sama ialah Penasihat Kodim, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu, Pengerusi Kodim, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pihaknya membuka peluang kepada orang ramai untuk mewakafkan sumbangan sendiri atau waris.

Katanya, kompleks tiga tingkat itu dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan seluas tiga ekar di Kampung Tok Has, Besut.

“Kompleks yang dianggarkan berharga RM3 juta ini dibina berasaskan sumbangan derma orang ramai yang dijangka dapat disiapkan dalam masa lima tahun,” ujarnya

Beliau menambah, kompleks Kodim mengandungi Masjid al-Hidayah di bahagian paling bawah yang dianggarkan dapat memuatkan makmum seramai 1,500 orang pada satu-satu masa, selain sebagai tempat halaqat menghafal al-Quran dan hadis.

Maktabah pula, ujarnya terletak bersama masjid yang akan menempatkan berbagai jenis kitab serta kemudahan internet, e-kitab dan peralatan dakwah kepada bukan Islam.

Qa’ah kuliah, katanya berada di tingkat 2 dengan bilik-bilik kuliah yang akan dapat memuatkan 40 orang setiap bilik.

Tambahnya, di tingkat tiga pula terdapat dewan tertutup yang dianggarkan boleh memuatkan 3,000 orang bagi satu-satu masa yang dilengkapi dengan pentas dan ruangan untuk tetamu VVIP.

Dewan itu juga, ujarnya dapat memuatkan empat gelanggang badminton dan sukan yang lain selain tempat untuk muslimat beriadah.

Menurutnya, matlamat Kodim adalah untuk mengembalikan keagungan keilmuan Islam, mewujudkan sebuah pusat dakwah Islamiah kepada masyarakat non muslim.

Di samping itu, katanya, Kodim juga bertujuan memperkenalkan biah Islamiah sebagai satu cara hidup kepada masyarakat, melahirkan generasi al-Quran dan al-Hadis di samping mewujudkan satu medium dakwah yang baru bagi pengembangan Islam di Terengganu dan Malaysia amnya.

Justeru, katanya orang ramai yang ingin menyumbangkan boleh berbuat demikian atas nama Kompleks Pendidikan Islam Besut melalui akaun BIMB bernombor 13035010044424 atau Maybank 563046101804.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese