13 October 2010

Syarikat Pembalakan 'Kroni' Mencemarkan Alam Sekitar Tasik Kenyir



HULU TERENGGANU - Hampir 100 orang ahli Persatuan Pengusaha Bot Pelancong Tasek Kenyir (KELABA) melahirkan rasa bimbang terhadap 'pencabulan' dan kemusnahan alam sekitar akibat kerja-kerja pembalakan di Tasek Kenyir.

Tinjauan Skuad Buletinonline mendapati kerja-kerja pembalakan air di sekitar Gua Bewah, Tasek Kenyir yang terletak di Taman Negara sedang giat dijalankan oleh pihak kontraktor pembalakan terbabit.

Difahamkan, lesen pembalakan berkenaan, dikeluarkan kepada Syarikat Wargasuria Holdings Sdn. Bhd seluas 3,000 ekar pada 12 Februari 2009 tahun lalu melalui sepucuk surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu, Wan Ahamad Wan Muda.

Sekiranya aktiviti pembalakan 'dalam air' itu diteruskan, menurut jurucakap KELABA, ia akan memusnahkan 'sanktuari' habitat pembiakan semulajadi ikan di tasek berkenaan.

Aduan serta bantahan pernah diajukan kepada pihak berkuasa dan kerajaan negeri tetapi tidak mendapat ‘respon’ malah pihak kontraktor berkenaan semakin ‘berani’.

Jurucakap KELABA memberitahu, kerja-kerja pembalakan yang dilaksanakan oleh kontraktor tersebut hanya dihentikan sementara pada bulan Ramadan lalu dan kini ia disambung semula.

Pihak kontraktor ‘ali baba’ yang mendapat projek pembalakan berkenaan pernah ‘merayu’ kepada pihak persatuan agar membenarkan kerja-kerja pembalakan diteruskan.

“Taukeh (kontraktor) Cina ada datang jumpa kami dengan ahli Persatuan KELABA untuk runding supaya dia (syarikat) boleh teruskan pembalakan di Tasek Kenyir itu.

“Kami (persatuan) semua tidak setuju walau pun ada usaha pihak syarikat itu hendak ‘beli’ (rasuah) kami.

“Saya diberitahu oleh pihak ‘taukeh’ Cina (kontraktor) itu yang syarikatnya telah ‘habis’ (belanja) sebanyak RM1 juta untuk dapatkan kawasan pembalakan itu,” jelasnya.

Beliau turut mempersoalkan kepada siapa wang RM1 juta itu dibayar oleh pihak kontraktor Cina untuk mendapatkan kawasan balak berkenaan.

Buletinonline juga dimaklumkan, terdapat beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu yang tidak sehaluan dengan kepimpinan MB Dato’ Seri Ahmad Said telah melahirkan rasa ‘marah’ dan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri.

Sumber tersebut memaklumkan, Adun berkenaan yang pernah menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan mantan MB, Dato’ Seri Idris Jusoh juga ‘marahkan’ Ahmad Said.

Persoalannya, siapakah pemilik Syarikat Wargasuria Holdings Sdn. Bhd?, Ini kerana, pemilik syarikat berkenaan dikatakan kroni rapat dengan ‘Mat Said’ (Menteri Besar) Terengganu.

Dikatakan juga banyak projek-projek kerajaan negeri diperolehi oleh pemilik syarikat berkenaan yang masih mempunyai beberapa buah nama syarikat lain.

Seorang ahli KELABA yang juga enggan disebut namanya terkilan dan dukacita kerana beberapa agensi media yang ditemui untuk mengadu tidak ‘berani’ menyiarkan laporan ini kerana ada kaitan dengan kepentingan orang politik tertentu.

“Saya harap dan merayu sangat supaya pihak awak (skuad buletinonline) dapat siarkan masalah yang dihadapi oleh kami (persatuan).

“Ini bukan sahaja kami (persatuan) yang tidak puas hati tetapi para pelancong yang dibawa ke Taman Negara ini bimbang dengan pencemaran alam sekitar,” ujarnya.

Beliau mendakwa banyak ikan-ikan mati serta khazanah hutan semulajadi rosak akibat dari pembalakan yang dilesenkan tidak kena pada tempatnya oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, kerosakan alam sekitar itu sekaligus memusnahkan keindahan semulajadi pemandangan di Tasek Kenyir dan Taman Negara ini.

Wargasuria Holding Sdn Bhd adalah (Dokumen kiri) syarikat milik Maat bin Ismail, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Dungun.

Maat adalah suami kepada Mek Hawa Binti Abdul Rahman, yang turut mendapat anugerah tender membekalkan pakaian sekolah daripada kerajaan negeri Terengganu. BO

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese