17 July 2010

Pepecahan UMNO Terengganu



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini melahirkan rasa kecewa dengan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu yang dipulaukan oleh beberapa wakil rakyat di kawasan itu.

Mereka adalah ADUN Jabi, Ramlan Ali; ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh; ADUN Langkap, Asha'ari Idris dan ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat.

"Empat wakil rakyat tak hadir, saya pun dukacita jugalah, saya tak sebelahi mana-mana pihak dalam soal politik, tapi sebagai timbalan presiden saya rasa agak kecewa.

"Mungkin ada masalah tertentu, mungkin ada hubungkait dengan jawatan dan pimpinan. Apa yang saya nak tekankan, apa saja isu dan permasalahan yang timbul antara kita, mesti kita selesaikan dengan bijaksana," katanya kepada Bernama.

Turut hadir, ahli parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie yang juga ketua Umno bahagian Setiu dan ketua Umno bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Timbalan Presiden Umno itu juga mengingatkan ahli Umno supaya menyelesaikan segera permasalahan atau pergeseran yang berlaku sesama mereka dalam usaha mengembalikan semula kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Katanya, perpaduan dalam parti itu perlu segera diperkukuhkan kerana ia menyumbang bagi mengukuhkan kedudukan parti dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Kalau ada isu dan rasa tak puas hati, tersinggung atau dipinggirkan, apa saja perasaan dan sentimen yang merenggangkan hubungan dan memberi impak kepada usaha memperkukuhkan parti, hal sebegini perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Saya sebut ini bukan saja untuk Setiu, malah juga di tempat-tempat lain," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu. - MalaysiaKini

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese