Tukar Kerajaan BN Yang Tidak Pandai Memerintah – Siti Zailah
KUALA NERUS - Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Muhd Yusoff menyifatkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pandai memerintah dan sudah masanya ia ditukar.
Ia adalah kerana, katanya, BN yang memerintah negara banyak melakukan pembaziran wang rakyat serta ketirisan dalam mengurus harta negara.
“Dimaklumkan dalam Dewan di Parlimen, yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara ketirisan sahaja yang berlaku tahun 2009 lalu sebanyak RM28 bilion.
“Ini duit rakyat, duit negara. Penyelewengan yang ditemui oleh Audit terlalu banyak dan perlu didedahkan,” tegasnya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Isu Semasa di Pekan Batu Enam, Rabu, 10 Februari.
Menurutnya, antara penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Umno-BN terhadap beberapa tuntutan yang tidak munasabah.
“Laporan Audit melaporkan ada satu harga komputer riba yang berharga RM2,000 dan dia (Umno-BN) tuntut dengan kerajaan RM42,000.
“Satu kotak skru drebar yang berharga RM30 dia (Umno-BN) tuntut RM4,700 dan satu pasu bunga yang harga RM20 dia tuntut dengan harga RM350,” dedahnya dihadapan lebih 1000 hadirin.
Lebih teruk lagi, katanya, Laporan tersebut juga mendedahkan, terdapat penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dipalsukan, tidak pernah wujud.
Beliau berkata, ada penerima yang namanya palsu dan kad pengenalan juga palsu termasuk dalam senarai penerima bantuan JKM.
“Nama palsu dan nombor i/c (kad pengenalan) pasul tetapi masuk senarai penerima bantuan JKM. Nama (penerima) itu tidak ada pun dalam Pendaftaran Negara. Ini kerja Umno-BN,” jelasnya.
Selain itu, katanya berlaku juga pembaziran yang menggambarkan ketidakcerdikan pemimpin Umno-BN memerintah negara.
“Kediaman rasmi Perdana Menteri (PM) dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) di Putrajaya iaitu Seri Perdana dan Sri Satria disewa dengan Syarikat Perbadanan Putrajaya Holdings Berhad.
“Kerajaan bayar sewa setiap bulan kepada perbadanan itu untuk rumah rasmi PM sahaja sebanyak RM11,300 sehari dan sewa rumah kediaman TPM pula RM7,600 sehari,” jelasnya.
Menurutnya, dua buah rumah tersebut kerajaan terpaksa berbelanja hampir RM7 juta setahun untuk sewa rumah dua pemimpin tertinggi negara.
Kata beliau, jika duit sebanyak RM7 juta itu digunakan untuk membuat dua buah rumah kekal bagi Perdana Menteri dan Timbalannya adalah lebih baik.
“Jika dia (Umno-BN) guna duit RM7 juta itu dan buat rumah kekal untuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, masuk tahun kedua tidak payah menyewa lagi.
“Sejak zaman Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang ini Dato’ Seri Najib Tun Razak. Berapa juta wang rakyat dan wang negara dibazirkan atas sewaan rumah itu,” ujarnya.
Justeru itu, katanya PAS dan Pakatan Rakyat kena gerakkan jentera parti masing-masing dari sekarang.
Menurutnya, dalam masa setahun setengah lagi Parlimen akan dibubarkan dan rakyat perlu diberikan penjelasan.
Hadir sama pada majlis tersebut Ketua dan Setiausaha Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh dan Raja Endun Raja Abdul Rahman. BO
No comments:
Post a Comment