08 February 2010

Karpal Mohon Hakim Dilucut



Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan sehingga pagi esok selepas peguamnya memohon agar Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohamad Diah dilucutkan daripada mendengar kes ini kerana tidak berpuas hati dengan cara mahkamah menguruskan bantahan berhubung liputan Utusan Malaysia minggu lalu.

Peguam utama pasukan Anwar, Karpal Singh mengemukakan permohonan di peringkat awal prosiding hari keempat perbicaraan kes liwat pagi ini.

Dalam mengemukakan permohonannya Karpal berkata, keputusan mereka itu berdasarkan rasa tidak puas hati yang timbul terhadap cara hakim mengendalikan permintaan agar mengambil tindakan menghina mahkamah ke atas akhbar berkenaan.

Menurut Karpal, cara hakim mengendalikan permintaan berhubung tindakan akhbar itu “membawa elemen bahaya di pihak hakim yang arif.”

Karpal telah membangkitkan corak liputan Utusan Malaysia pada Khamis dan Jumaat lalu.

Pada Jumaat lalu, Karpal memohon mahkamah supaya mengeluarkan amaran kepada Utusan Malaysia berhubung gambar yang disiarkan oleh akhbar itu hari ini dengan keterangan gambar “Saiful menunjukkan katil tempat diliwat oleh Anwar Ibrahim kepada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah”.

“Bagaimanakah maklumat ini boleh bocor. Begitu juga dalam Sinar Harian,” kata Karpal.

Bagaimanapun Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata: “Saya percaya ada jurugambar yang masuk ketika prosiding melawat di tempat kejadian di kondominium itu, tetapi apa yang dipersetujui, apa yang diberitahu oleh saksi pendakwa pertama (Saiful) telah tiada bantahan.”

Karpal berkata akhbar berkenaan menggunakan perkataan “katil” dan bukan “tempat” dan itu bukanlah apa yang berlaku semasa prosiding mahkamah terbuka.

Hakim Mohamad Zabidin berkata mahkamah tidak nampak sebarang tindakan menghina mahkamah berhubung laporan Utusan Malaysia dan Sinar Harian itu memandangkan perkataan “katil” telah pun disebut semasa prosiding mahkamah terbuka.

Sehari sebelum itu, pasukan pembelaan Anwar juga mahu agar Utusan Malaysia dikenakan tindakan menghina mahkamah berhubung laporan akhbar itu pada hari Khamis mengenai perbicaraan kes liwat melibatkan ketua pembangkang itu.

Karpal berkata mahkamah perlu bertindak dan merujuk akhbar itu dengan kesalahan menghina mahkamah walaupun ia berlaku di luar mahkamah.

Berdasarkan afidavit dikemukakan Karpal, Utusan pada 4 Februari lalu telah menerbitkan laporan muka depan di bawah tajuk “Tak rela diliwat lagi” dengan gambar bertentangan Anwar dan Saiful. Pada halaman tiga akhbar itu melaporkan “Berhenti kerana tidak mahu diliwat lagi”.

Ketika ditemui wartawan, Anwar berkata sebab utama permohonan itu difailkan adalah kerana beliau mahukan perbicaraan yang adil.

“Helah politik dan usaha memusnahkan karakter saya dengan sengaja terus-menerus dilakukan oleh akhbar-akhbar milik Umno dibenarkan.

“Kenyataan yang disiarkan tidak tepat sama sekali, tetapi hakim tidak mengambil apa-apa tindakan,” kata Anwar.

Permohonan itu akan didengar pukul 9.30 pagi esok.

Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Perbicaraan itu berlangsung selepas 18 bulan Anwar pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada Ogos 2008.

Saiful, bekas pembantu peribadi Anwar adalah saksi pertama yang memberi keterangan apabila kes itu bermula pada Rabu lepas di hadapan Hakim Mohamad Zabidin. -MI

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese