14 January 2010

Tengku Fakhry: ‘Fitnah Manohara gambarkan saya binatang buas’


Prince vs Manohara continues Feb 24

Prince claims estranged wife's statements were slanderous - thestaronline.tv
Court sets Feb 24 to hear Kelantan prince - malaysiakini.tv

Putera Sultan Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa perkataan fitnah yang dilemparkan isterinya Manohara Odelia Pinot membawa maksud beliau bersalah dan bertangungjawab merogol, mendera dan menyeksa isterinya itu.

Tengku Muhammad Fakhry yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata perkataan fitnah itu juga bermaksud beliau bersalah mendera isterinya secara seksual, mengurung, menculik dan menghalang perhubungan isterinya dengan ibunya Daisy Fajarina, malah perkataan itu menggambarkan beliau sebagai seekor binatang buas.

Bagaimanapun, beliau menafikan dengan sekeras-kerasnya melakukan keganasan kepada isterinya yang merupakan seorang model Indonesia, malah menyifatkan hubungan mereka sangat rapat dan beliau amat mencintai isterinya itu.

Tengku Muhammad Fakhry berkata sejak berkahwin dengan isterinya pada 26 Ogos 2008, isterinya tidak pernah menunjukkan kepadanya atau ahli keluarganya yang dia tidak gembira tinggal di Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kota Baharu, sehingga sembilan bulan berkahwin, isterinya pulang ke Indonesia secara tiba-tiba tanpa kebenarannya.

“Semua anggota keluarga saya, ahli kerabat diraja dan pekerja-pekerja di istana adalah saksi kepada perhubungan akrab antara kami,” katanya semasa memberi keterangan dalam prosiding taksiran ganti rugi dalam kes saman fitnah RM105 juta terhadap isterinya dan ibu mentuanya Daisy.

Pada prosiding dalam kamar itu, Tengku Muhammad Fakhry memberi keterangan dengan membaca pernyataan saksi yang ditandatanganinya, di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noordura Mohamed Din.

Pernyataan saksi itu ditandakan sebagai bahan bukti dalam kes itu.

Selepas mendengar keterangan itu, Noordura menetapkan 24 Feb ini untuk mendengar hujah peguam Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili putera raja itu berhubung ganti rugi yang perlu dibayar oleh Manohara kepada anak guamnya itu.

Dalam pernyataan saksi, Tengku Muhammad Fakhry berkata akibat perkataan fitnah itu reputasi, integritinya sebagai putera raja dan Tengku Temenggong telah tercemar dan beliau kehilangan kepercayaan dan kehormatan rakyat terhadapnya.

Katanya beliau juga telah dituduh menimbulkan krisis diplomatik di antara Malaysia dan Indonesia sehingga rakyat Indonesia mengadakan protes dan mendakwa rakyat Malaysia menganiaya dan menyeksa rakyat Indonesia.

Tengku Muhammad Fakhry berkata kerana tertekan dengan kejadian itu, beliau tidak menghadiri majlis rasmi negeri Kelantan dan berasa malu kerana menjadi bahan ketawa orang ramai, malah ada kawan-kawannya menamatkan persahabatan mereka dan juga menamatkan kontrak perniagaan.

“Saya tidak mungkin akan dapat membina semula reputasi saya yang telah saya jaga dengan baik dan apa jua jumlah wang ganti rugi tidak mungkin dapat memperbaiki reputasi yang terjejas,” katanya.

Katanya beliau berasa bersalah terhadap ayahandanya yang terpaksa mendengar tuduhan itu semasa ayahandanya dalam keadaan tidak sihat.

Tengku Muhammad Fakhry berkata perkataan fitnah yang dilafazkan dengan niat jahat oleh Manohara dan ibunya, besar kemungkinan adalah satu komplot untuk menjatuhkannya dan menafikan haknya di Istana Kelantan sekali gus mengeluarkan beliau dari senarai waris kepada takhta negeri itu.

Kehadiran Tengku Muhammad Fakhry, 32, ke mahkamah pukul 10.50 pagi mendapat perhatian lensa kamera yang menunggu sejak pagi. Selepas prosiding selesai Tengku Muhammad Fakhry bergegas meninggalkan kompleks mahkamah sambil mengucapkan terima kasih kepada jurugambar dan wartawan.

Pada 20 Julai 2009, putera Sultan Kelantan itu mendakwa ibu mentuanya dan isterinya telah secara palsu dan jahat memfitnah beliau apabila mereka mendakwa pada satu sidang akhbar antara April dan Jun lepas bahawa Manohara telah didera.

Pada 5 Nov 2009, Tengku Muhammad Fakhry memperoleh perintah ingkar terhadap dua defendan itu setelah mereka gagal melantik peguam bela baru selepas Tetuan Fakrul Hisham Abdullah & Associates menarik diri daripada mewakili mereka.

Pada 29 Okt 2009, Penolong Kanan Pendaftar Shazali Hidayat Shariff memberi tempoh kepada Manohara dan ibunya sehingga 5 Nov 2009, untuk melantik peguam baru atau menghadapi risiko perintah ingkar dikenakan terhadap mereka.

Perintah ingkar adalah satu keputusan yang menyebelahi plaintif apabila defendan tidak memberi respons terhadap saman yang difailkan terhadapnya atau gagal menghadirkan diri di mahkamah. — Bernama

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese