Tindakan polis membebaskan individu yang mengaku dalam Facebooknya bahawa beliau menyerang gereja, tidak masuk akal, dan boleh dipermain-mainkan, demikian menurut Naib Presiden PAS, Datuk Haji Mahfuz Omar dalam suatu kenyataannya di sini, hari ini.
Hal ini kerana, menurutnya, pasukan polis dilihat tidak melakukan penelitian yang rapi terlebih dahulu sedangkan suspek penyerang yang didakwa sudah pun dikenalpasti oleh pihak polis sebelum ini masih bebas dan belum ditangkap.
"Setahu saya, mana ada orang nak mengaku bahawa dia yang bakar? Bawa pertuduhan itu ke mahkamah pun tak ada yang nak mengaku. Tiba-tiba polis boleh tangkap seseorang yang mengaku dalam Facebooknya bahawa dia yang buat (serang gereja).
"Kemudian polis bebaskan apabila budak tersebut menyatakan bahawa dia saja main-main," kata Mahfuz.
Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, hal ini menunjukkan bahawa polis terlalu lemah dan terlalu percaya apabila individu yang ditahan itu membuat pengakuan bahawa dialah yang telah melakukan serangan ke atas gereja sebelum ini.
"Polis yang saya sebutkan di atas sepatutnya buatlah pertemuan berjumpa dengan budak itu di rumahnya, tanya dahulu baru buat keputusan nak tangkap atau tidak. Ini terus tangkap bawa ke balai polis. Ini yang orang ramai persoalkan kebijaksanaan polis, sekejap kena siasat dan teliti dulu, kejap terus tangkap," tambah beliau lagi.
Mahfuz berkata, kejadian ini menunjukkan dengan jelas bahawa polis boleh dipermainkan dan ditipu oleh sesorang.
"Kalau pelajar kolej swasta pun boleh menipu dan mempermainkan polis, sudah tentu Umno lebih dahsyat lagi menipu dan memperalatkan polis untuk kepentingan politik Umno yang tersepit.
"Jangan-jangan, kes serangan gereja akan jadi seperti kes enjin jet hilang. Setahun empat bulan polis ambil masa untuk siasat baru dapat tangkap dan dakwa. Itu pun sarjan dan prebet 'cabuk' sahaja. Pegawai atasan terlepas, pihak yang lagi atas (pegawai tertinggi) hilang terbang bersama enjin jet," kata Mahfuz.
Semalam, akhbar arus perdana melaporkan polis telah menahan seorang pelajar kolej swasta, selepas beliau mengaku melakukan serangan ke atas gereja di dalam Facebooknya. Pelajar itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis, kerana pengakuan tersebut sekadar 'gurauan' bersama rakan-rakannya. erapakatan
No comments:
Post a Comment