16 January 2010

AMK : Tasyrif Hanya Kambing Hitam



Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyelar tindakan polis menahan seorang pelajar yang didakwa memulakan tulisan berniat mendatangkan gangguan di laman social Facebook.com.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pelajar itu umpama kambing hitam yang sengaja diciptakan oleh kerajaan demi membayangkan gagasan itu menjalankan amanah yang diberi rakyat.

Shamsul percaya tangkapan terburu-buru itu dibuat kerana polis dan kerajaan berada dalam keadaan terdesak sementelah masih tiada sebarang tindakan diambil berhubung serangan beberapa buah gereja di negara ini.

“ Ya saya ingat ini merupakan tindakan yang tergesa-gesa dan pihak polis dilihat cuba mencari kambing hitam. Memandangkan sekarang sudah 10 gereja dibakar dan dirosakkan tetapi tidak ada sebarang tangkapan”.

“ Apabila keadaan ini berleluasa, ianya menguatkan lagi syakwasangka kepada rakyat bahawa sebenarnya yang terlibat dengan menimbulkan perkara-perkara ini adalah kerajaan, saya bagi pihak parti membidas tangkapan yang dibuat semalam di atas asas sebarang usaha untuk mengatasi masalah ini perlu lah dibuat dengan cermat dan teliti”.

Mohamad Tasyrif Tajuddin, pelajar jurusan Perfileman dari Akademi Seni Budaya, Warisan dan Kebangsaan, (ASWARA) dituduh memulakan penghantaran komunikasi dengan kata-kata ‘ke nak aku baling bom petrol di sana plak? Harga boleh runding…’ melalui akaun Facebook Shahrul Maizam pada 10 Januari lalu.

Tasyrif didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Dia berhadapan hukuman maksimun denda RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Shamsul belia hairan dengan kekuatan polis yang ada pada hari ini, bagaimana petualang di sebalik serangan 10 buah gereja masih gagal diberkas, sebaliknya tangkapan rawak dibuat kepada pelayar laman sosial Facebook yang masih kabur kedudukannya.

Sementara itu, menurut ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuff, beliau menggesa supaya tindakan diambil terhadap media arus perdana yang terlebih dahulu sengaja mensensasikan isu penggunaan kalimah Allah.

Yusmadi yang juga seorang peguam berkata, pelajar jurusan perfileman itu bukanlah punca kepada kekecohan ini walau tidak menafikan tindakan harus dikenakan kepada penuntut tersebut.

“ Rata-rata rakyat Malaysia tahu, sumber berlakunya kekecohan ini bukan di situ. Sebab bagi saya, bagi saya Facebook ini satu fenomena baru, dan bagi saya majoriti yang mempengaruhi masyarakat ini ialah media mainstream” ujarnya.

“ Pada saya hari ini yang malang pada pelajar itu, sebab beliau menulis sebegitu, pada saya tindakan perlu juga diambil. Tetapi pada saya, akhbar-akhbar arus perdana yang dari awal lagi menimbulkan perkara ini, itu perlu diambil tindakan”.

Yusmadi berkata, tindakan akhbar-akhbar arus perdana yang mengamalkan laporan berat sebelah memberi kesan yang besar kepada seluruh masyarakat di negara ini sehingga mengakibatkan provokasi dan gagal dibendung kerajaan.

“ Saya melihat contohnya Utusan Malaysia sendiri, pendekatan yang diambil sejak awal memang agak berat sebelah. Bukan dari sudut pengamalan kebebasan akhbar, yang memberi ruang kepada dua pandangan yang berbeza untuk dipilih oleh masyarakat. Sebenarnya sejak awal lagi mengapi-apikan sentimen yang boleh membangkitkan kemarahan".

Tasyrif dikatakan melakukan kesalahan itu di Desa Mentari Petaling Jaya jam 10 pagi semalan dan keterangannya akan direkodkan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Isnin depan. tvselangor

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese