16 January 2010

Umno-BN Langgar Federalisme, Biadap Terhadap Raja-Raja Isu Peruntukan



SHAH ALAM - Isu diskriminasi Kerajaan Persekutuan menyekat peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat jelas mengingkari amalan federalisme negara ini.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan pemimpin Umno-Barisan Nasional berfikiran jumud dan kolot hingga sanggup mempolitikkan isu peruntukan yang akhirnya menindas kebajikan rakyat selaku pembayar cukai.

Sebaliknya peruntukan itu disalahgunakan apabila disalurkan terus kepada parti Umno-BN sekaligus membantutkan usaha kebajikan rakyat terbabit.

“Wang yang disalurkan oleh kerajaan itu bukannya wang parti, tetapi wang rakyat, dan ini bertitik tolak daripada perkara yang lebih asas lagi iaitu tentang isu pembiayaan politik dan sebagainya di Malaysia masih lagi tidak ada peraturan yang jelas, dan sebab itu hari ini disalurkan dalam peringkat parti,”katanya.

Bercakap kepada Tv Selangor semalam beliau menambah Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor bersikap profesional dalam pengagihan peruntukan negeri tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang.

Ini kerana Pakatan Rakyat sentiasa mendukung perlembagaan negara demi kesejahteraan rakyat tanpa mempunyai sebarang kepentingan tertentu sepertimana yang diamalkan Umno-BN.

“Jadi kita bersedia sekiranya Ahli Parlimen kita misalnya menerima saluran daripada kerajaan pusat saya rasa tidak ada masalah kita akan terus serta merta kita akan bagi sama semua wakil rakyat yang ada di negeri Selangor bantuan tersebut,”katanya.

Nik Nazmi kesal sikap kerajaan persekutuan berpolitik kesukuan kerana tiada kawalan terhadap pembiayaan politik di negara ini.

Selain peruntukan, keengkaran mereka menyerahkan royalti sumber galian seperti petroleum di Kelantan jelas menafikan hak kerajaan negeri sekaligus merencatkan pembangunan prasarana dan kebajikan rakyat terbabit.

“Isu paling jelas, paling ketara permainan politik ialah isu royalti, yang mana kalau kita lihat bagi pihak sebelum ini dalam hansard pun Tun Razak dan sebagainya memaklumkan bahawa kerajaan negeri berhak terhadap royalti minyak,”katanya.

Nik Nazmi membidas kerajaan pusat kerana tidak menghormati kerajaan berperlembagaan sekaligus menafikan kedaulatan Raja-Raja yang memerintah negeri-negeri kerana menyekat peruntukan.

“Saya fikir kalau dibawa ke mahkamah dan sebagainya kerajaan negeri mempunyai hak yang jelas dan sebab itu kerajaan persekutuan begitu risau tentang tindakan mahkamah yang diambil oleh kerajaan Terengganu di bawah Pas terhadap kerajaan persekutuan dalam isu royalti minyak ini,”katanya.

Menurutnya, Pakatan Rakyat tetap memperjuangkan kepentingan hak rakyat dengan mengembalikan kuasa semua negeri menuntut royalti dan peruntukan yang wajib disalurkan oleh kerajaan persekutuan. selangorkini

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin