16 December 2009

Timbalan Menteri Wilayah didakwa ugut penghuni setinggan



Jawatankuasa Bertindak Kaum India Kampung Pandan mendakwa Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan mengenakan ugutan terhadap mereka.

Pengerusinya, S.M Sureshkumar A/L Maniam berkata, Saravanan mengeluarkan kenyataan yang mengugut penghuni-penghuni setinggan di Titiwangsa kerana mengambil tindakan mahkamah terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut Suresh, Saravanan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan memberikan rumah kepada sesiapa yang memfailkan kes terhadap DBKL sewaktu mengadakan pertemuan dengan penghuni-penghuni setinggan di Dewan Orang Ramai (Lorong 5), kampung Pandan.

Ugutan itu ujarnya menyebabkan mereka berasa takut dan sebahagiannya telah menarik balik kes yang difailkan itu.

"Datuk Saravanan kata sesiapa yang buat tindakan mahkamah terhadap DBKL tak akan diberi unit rumah langsung. Beliau kata tiada sesiapa pun yang pernah menang dalam kes yang difailkan terhadap DBKL," katanya dalam satu sidang media bersama Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Tindakan mahkamah terhadap DBKL itu diambil berikutan tindakan DBKL mengeluarkan kawasan setinggan India Settlement di kawasan Titiwangsa daripada Draf Plan Kuala Lumpur 2020.

Penghuni kawasan setinggan itu mahu mempertahankan hak mereka ke atas kawasan tersebut kerana ianya merupakan satu-satunya kawasan warisan orang India di Kuala Lumpur.

"Kami amat berterima kasih kepada Dr. Lo' Lo' yang telah memberikan pertolongan dan sokongan kepada kami dalam memperjuangkan hak asasi penghuni-penghuni di Kampung Pandan Indian Settlement," katanya.

Berikutan ugutan itu, pihak jawatankuasa berkenaan telah membuat laporan polis terhadap Saravanan dan sedang menunggu nasihat daripada peguam mereka untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap beliau.

Mereka turut membantah tindakan DBKL memindahkan mereka ke Puchong, yang didakwa jauh dari tempat kerja mereka dan sekolah anak-anak mereka.

Menurut Suresh juga, Bekas Timbalan Menteri, Datuk T. Murugiah telah meluluskan mereka menduduki penempatan sementara di perumahan rakyat Sri Alam di sungai Besi, tidak terlalu jauh dari tempat asal.

Namun, apabila Saravanan menggantikan Murugiah, beliau campur tangan dengan membatalkan semua kelulusan yang dibuat Murugiah sebelum ini.

Sehubungan itu, mereka meminta Dr. Lo' Lo' menyuarakan perkara itu ke Parlimen agar hak mereka sebagai rakyat malaysai ditunaikan Kerajaan.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin