20 August 2009
Nizar lawan Zambry: Kemukakan bantahan kepada Raja Muda Perak
SURAT ADUAN RASMI ZAMBRY GUNA MASJID UNTUK POLITIK
19 Ogos 2009 / 27 Syaaban 1430
Yaazima-al-uzamak,
Menghadap Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah D.K., D.K. II (Selangor), D.K.S.A., S.P.C.M., S.P.T.S., S.P.M.P. (Perlis), Ph.D. (Harvard) Yang DiPertua Majlis Agama Islam Perak yang bersemayam pada masa ini di Istana D.Y.T.M. Istana Raja Muda Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.
Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun;
SEMBAH MENGADU PENGGUNAAN MASJID IBNU SALAM, PENGKALAN PEGOH, IPOH OLEH DATUK SERI DR ZAMBRY ABDUL KADIR DI MAJLIS TAZKIRAH / CERAMAH PADA 17 OGOS 2009
Dengan hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wataala, mudah-mudahan Tuanku dan Raja Puan Besar sentiasa berada dalam selamat dan kesejahteraannya.
Adalah dengan ini patik Zawawi Hassan, selaku Ketua Dewan Pemuda Parti Islam Se Malaysia (PAS) Negeri Perak yang mewakili seluruh saf pimpinan dan ahli-ahli parti serta rakyat Perak yang menyokong dan bersimpati dengan kami, dengan ini mengangkat sembah mengadu dan membawa ke perhatian Tuanku sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan Sultan sebagai Ketua Agama Negeri adalah berkaitan.
Patik merasakan titah Tuanku pada 2 Julai 2008 semasa majlis menghadap oleh Orang Besar Jajahan dan pegawai tadbir agama daerah negeri Perak di Kompleks Islam berkaitan masjid dan surau di Perak haruslah bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian serta urusan agama Islam sama sekali tidak harus dibenar untuk dipolitikkan telah di ingkari oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir baru-baru ini.
Tuanku juga telah menitahkan agar masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas untuk mengadakan kegiatan politik sebaliknya hendaklah menjadi instrumen untuk menyatupadukan ummah sama sekali telah dilanggar oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang jelas tidak mempunyai tauliah daripada Sultan Perak.
Patik sekalian merayu Tuanku sebagai Raja Pemerintah memiliki kuasa mutlak dalam urusan agama Islam dan Raja Pemerintah berada di atas politik kepartian, bersikap bebas dan berkecuali dari sebarang pengaruh atau kepentingan politik kepartian.
Ampun Tuanku,
Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan doa kehadrat Allah Subhanahu Wataala mudah-mudahan Tuanku dan Raja Puan Besar dan seluruh kerabat Tuanku sekalian dilanjutkan usia dan berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan selama-lamanya.
Amin Ya-Rabbal-Alamin.
Ampun Tuanku.
Patik dengan segala hormat takzimnya,
ZAWAWI HASSAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
dppperak.blogspot.com/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment