PULAU PINANG: Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengemukakan usul bagi meminda Enakmen Anggota Pentadbiran dan Saraan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980 untuk menginstitusikan kedudukan ketua pembangkang.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata melalui pindaan itu ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri berhak menikmati elaun bulanan RM1,000 sebagai mengiktiraf peranannya.
Beliau berkata kedudukan ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri perlu diberikan penghormatan yang sewajarnya kerana penjawatnya boleh memainkan peranan sebagai "check and balance" kepada kerajaan negeri.
Katanya Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang mengiktiraf peranan itu, yang disifatkannya semakin mencabar dan mendapat perhatian daripada rakyat.
"Oleh itu, wajar Ketua Pembangkang diberi elaun bulanan RM1,000 sebagai pengiktirafan terhadap peranan yang dimainkannya," katanya ketika membentangkan usul meminda enakmen itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.
Lim berkata pembayaran elaun itu bertujuan memberi imbuhan yang serupa seperti yang dinikmati Ketua pembangkang di Parlimen.
Katanya berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, seseorang Anggota Parlimen yang dilantik sebagai ketua pembangkang berhak mendapat elaun bulanan di samping elaun-elaun lain.
"Ini bukan berkaitan dengan jumlah wang yang perlu diterima tetapi lebih kepada prinsip dan mengiktiraf tanggungjawab ketua pembangkang," katanya.
Menurutnya peruntukan mengenai elaun Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dinyatakan di dalam Enakmen berkenaan tetapi elaun ketua pembangkang tidak diperuntukkan dalam enakmen itu.
"Bagi mewujudkan elaun ketua pembangkang, maka enakmen itu perlu dipinda dengan memasukkan seksyen baru iaitu Seksyen 3A yang menyebut seseorang yang dilantik sebagai ketua pembangkang, dia berhak selain daripada saraan bulanan yang dinyatakan, mendapat elaun bulanan RM1,000," katanya.
"Dengan termaktubnya penghormatan itu, saya menyeru pihak pembangkang di Pulau Pinang agar belajar menjadi "pembangkang yang setia" yang berikrar untuk taat kepada rakyat, mendengar kehendak mereka dan mewakili mereka bersungguh-sungguh," katanya. BERNAMA
No comments:
Post a Comment