20 October 2008

Saifudin Nasution membahaskan Bajet - Malaysiakini

Ucapan YB Saifudin Nasution Ismail (PKR Machang) membahaskan Bajet 2008

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya bangun untuk mengambil bahagian pada sidang bajet kali ini, kebetulan diadakan ketika UMNO sedang buat pemilihan parti. Saya tahu sahabat saya Yang Berhormat Sri Gading kalau berucap dalam perhimpunan agung UMNO penuh pantun. Pemimpin adalah cerminan rakyat, rakyat pula seakan terapan kepada corak tadbiran pemimpin. Mari kita renung pesan orang-orang tua dalam memilih pemimpin.

Biar pilih pada yang benar,
biar sokong yang patut bergantung,
biar membela yang layak didukung

Jangan dibiar pemimpin lesu,
lupa di sini terlena di situ,
nanti negeri mendapat malu
Jangan dibiar pemimpin liar,
pantang perempuan tangan menjalar,

segala harta mahu dikejar,
nama Tuhan pun mudah diikrar,
seakan tak takut bala menyambar

Pilih pemimpin sebenar banyak teruji,
walau dipenjara masih berdiri,
membela rakyat sentiasa difikiri,
mendepani cabaran dia tidak lari

Saya singkap kitab-kitab lama ini dan memilih pantun ini guna untuk berpesan pada diri saya, pemimpin dari Pakatan Rakyat dan juga pemimpin dari Barisan Nasional seluruhnya yang sedang memikul amanah kepimpinan bahawa persoalan kepimpinan ini bukan persoalan kecil. Ini persoalan amanah bukan satu anugerah, persoalan bebanan bukan satu banggaan. Saya tumpukan kepada tiga perkara Tuan Yang di-Pertua.

Pertama soal peralihan kuasa. Saya masih ingat waktu berucap dalam ucapan sulung sejurus pilihan raya umum sidang Parlimen yang pertama, saya sudah pun mengatakan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 sudah pasti akan memakan korban.

Buat Barisan Nasional khususnya UMNO, mereka akan melihat Perdana Menteri itu satu beban, satu liabiliti. Mereka kemudiannya menggusarkan satu post mortem dan retreat parti. Dikemukakan pelan peralihan Jun 2010, menjanjikan peralihan kuasa secara aman. Pilihan raya kecil Permatang Pauh pula berlaku, Barisan Nasional kalah teruk, sokongan Melayu, Cina dan India bahkan semakin meningkat kepada Pakatan Rakyat.

Perdana Menteri dipaksa mempercepatkan pelan peralihan. Nama lunaknya pelan peralihan, sebenarnya silalah berhenti kamu. Jun 2009, tetapi itu pun tidak sabar menunggu, dirangka segala macam pertemuan, diatur segala macam perancangan dan akhirnya Perdana Menteri terpaksa akur, Mac 2009.

Itu reality yang sedang berlaku dalam UMNO, tunggak dalam Barisan Nasional. Bagaimana budaya pemilihan mereka, tidak sukar saya memahami kerana sembilan tahun saya pernah berada dalam kelambu UMNO. Bukan di kaki lima dan hari ini pun penyakit itu masih berlaku. Menteri Dalam Negeri dicabar di Kota Tinggi, kemudian Menteri Dalam Negeri keluarkan kenyataan bahawa rasuah dan politik wang yang berlaku dalam UMNO sekarang paling buruk dalam sejarah.

Diakui sendiri oleh Menteri Dalam Negeri. Kata Menteri Luar Negeri pula, ada perbuatan mengugut calon-calon. Kata calon Ketua Pemuda, kedua-duanya sekali disekat untuk menemui perwakilan. Rasuah, politik wang, ugut, sekat, sudah menjadi darah daging mereka.

Bagaimana rupa pemimpin parti yang naik melalui proses yang serba kotor ini. Apakah rakyat boleh meletakkan harapan parti ini memimpin dengan baik? UMNO kuat selama ini kerana ada kuasa, hilang kuasa, lemah dan tidak bermayalah UMNO. 18 tahun mereka hilang kuasa politik di Kelantan. Mereka bukan makin kuat bahkan makin teruk.

Pengaruh UMNO itu sudah hampir hilang, cuma pemimpin UMNO yang kaya raya, Pemuda, Wanita atau kepimpinan bahagian. Semasa ada kuasa pemimpin itu dihormati, Tun Dr. Mahathir sekali pun saat melepaskan jawatan kemudiannya dianggap perosak, dianggap pengacau, dengan segala macam tuduhan oleh orang yang sebenarnya bingkas bangun waktu Tun Dr. Mahathir umumkan hendak letak jawatan.

Dengan pertanyaan “why”, “why”, menangis, patah tumit kasut tetapi kemudian apa jadi? Sejurus Tun Dr. Mahathir tidak jadi perdana menteri, dia diserang berubi-tubi cuma sekarang kembali pulih kerana proksinya bakal mendapat tempat. Nasib Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi pun macam itu juga. Sebab itu semalam kita mendengar ada Ahli Parlimen menyebut, tidak berkenan cara Ketua Pembangkang mengulas persoalan-persoalan yang dibangkit oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional. Katanya terlalu angkuh dan sarkastik tetapi hakikatnya Yang Berhormat Permatang Pauh lah yang diaibkan, dimalukan, dipukul, disepak, dan diterajang.

10 tahun dituduh pengkhianat, agen Yahudi, agen Amerika, boneka IMF, alat bank dunia, segala macam tuduhan, berbuih mulut. Sekali ini Yang Berhormat Permatang Pauh dapat tempat dan beliau kemudian cuma memberikan balasan balas terhadap persoalan dibangkitkan dan tidak mampu mereka hendak dengar, sebab itu tuduhan angkuh dikemukakan. Tuan Yang di-Pertua, walaupun peralihan kuasa ini tertumpu pada Yang Berhormat Pekan, mohon saya petik kenyataan Perdana Menteri dalam New Straits Times 12 Oktober baru- baru ini.

Katanya dengan izin, “It doesn’t matter whether perception is right or wrong. It is a negative perception and if not addressed it will harden into reality. Once people lose their trust and confidence in institution, the country cannot function properly”.
- mppas »

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese