19 October 2008

Mesyuarat Umno: FRU Kawal pemuda, wanita baling kerusi, puteri menjerit-jerit - Malaysiakini

MESYUARAT Umno Pemuda Bahagian Rantau Panjang terpaksa dihadiri oleh Pasukan Unit Antirusuhan yang lengkap berpakaian perisai manusia apabila mesyuarat berkenaan kecoh.

Suasana tegang itu berlaku apabila Pengerusi Tetap mesyuarat berkenaan Nordin Ibrahim mengumumkan seramai 461 perwakilan daripada 144 cawangan layak mengundi.

Sejurus itu, salah seorang perwakilan yang juga ketua cawangan Umno Taman Seri, mendakwa jumlah perwakilan berkenaan tidak sah kerana kemungkinan wujudnya anggota hantu.

Mesyuarat yang diadakan pada 17 Oktober lalu akhirnya dihadiri oleh pasukan polis bagi mengawal suasana yang tegang berkenaan sehingga mesyuarat berkenaan tamat.

Dalam satu laporan media, Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Affendi Yusof telah menjangka keadaan berkenaan dan tidak menolak bahawa ianya dilakukan oleh pihak tertentu untuk mengganggu mesyuarat.

“Saya sudah jangka perkara ini akan berlaku terutamanya setelah empat anggota Umno Rantau Panjang digantung keahliannya,” katanya kepada media.

Bukan sahaja pemuda yang kecoh dalam mesyuarat, malah Persidangan Wanita Umno Bahagian di Kuala Selangor kecoh dengan insiden baling kerusi dan tindakan keluar dewan oleh beberapa perwakilan cawangan.

Kedua-dua insiden itu berpunca daripada bantahan mereka terhadap tindakan Pengerusi Tetap Wanita Umno Kuala Selangor, Zaini Khalid yang tidak memberi peluang kepada perwakilan terbabit untuk mencadangkan 10 nama perwakilan cawangan untuk menghadiri mesyuarat bahagian itu yang diadakan pada keesokan harinya,.

Selain itu, mesyuarat berkenaan yang diadakan pada 18 oktober itu turut melarang wakil-wakil media daripada masuk ke dalam dewan mesyuarat untuk mengikuti proses pengundian.

Manakala pada 11 Oktober lalu ketika Mesyuarat Puteri Bahagian Umno Bukit Bintang, sumber-sumber kami memberitahu salah seorang perwakilan menjerit-jerit menuntut penjelasan Ketua Puteri Bahagian berkenaan yang membatalkan mesyuarat.

Mesyuarat berkenaan dibatalkan apabila Ketua Puteri Bukit Bintang, Leni Abdul latif menerima surat daripada Ketua Bahagian, Azim Abidi yang mengarahkan mesyuarat Puteri dan Wanita Bahagian itu ditangguhkan.

Perwakilan yang hadir bagaimanapun tidak berpuas hati dengan alasan Leni yang mengatakan arahan ketua bahagian. Difahamkan, Perlembagaan Umno tidak membenarkan Ketua Bahagian untuk masuk campur dalam mesyuarat tahunan mana-mana sayap dalam parti itu.

Di Kota Tinggi pula, Polis menerima lima laporan pergaduhan dalam beberapa mesyuarat agung cawangan Umno dan bahagian.Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Osman Mohd Sebot yang mengesahkan kejadian pergaduhan itu berkata, polis sedang menyiasat satu daripada laporan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Menteri Dalam Negeri Syed Hamid Albar yang juga Ketua Umno Bahagian itu dilaporkan oleh akhbar sebagai berkata, perjalanan mesyuarat cawangan tersebut adalah yang terburuk dan dibayangi dengan unsur-unsur “kemaruk kuasa.”

Pada 5 ogos pula, Mesyuarat Agung Persidangan Umno Cawangan Batu Manikar yang mulanya berjalan dengan lancar bertukar kecoh apabila beberapa ahli Umno yang hadir berang dengan tindakan pengerusi tetap yang gagal menjalankan tugas dengan cekap.

Menurut satu sumber, kejadian membaling kerusi turut berlaku apabila pengerusi tetap yang mengendalikan mesyuarat dikatakan cuba melambat-lambatkan perjalanan mesyuarat di samping mencabar salah seorang ahli Umno untuk mengambil alih tempatnya.

Di Ipoh, Perak, seorang ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Cawangan Pernas Charter Management (PCM) Bahagian Gopeng cedera di kedua-dua kaki akibat dipukul dengan kayu golf selepas seorang rakannya tidak berpuas hati berhubung pencalonan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian itu. -SK

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese