Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera. Terima kasih kerana memberi peluang bukan untuk berhujah tentang bajet sebab kita rasa Bajet 2009 ini seperti yang didahului oleh Ketua Pembangkang adalah bajet yang outdated, seperti juga kalau kita bercakap hari ini mengenai bajet zaman Dinasti Ming dulu ke, sebagai sejarah. Memang cantik untuk pengajaran kita tetapi tidak ada membawa makna pada negara kita pada masa ini.
Kita ditegur tadi oleh Yang Berhormat Pontian, katanya kita siang malam pagi petang mempertikaikan mengenai bajet kita yang telah diperjelaskan, perkara yang telah diperjelaskan tetapi untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, kalau kita hendak menunjukkan kejayaan kerajaan kita sepanjang 50 tahun, mesti ada suatu ukuran, perbandingan nak menunjukkan kita ini hebat atau tidak.
Kalau sekadar berkata apa yang pembangkang nak sebut, apa yang pembangkang sebut, cadang mengenai negara berkebajikan, sebenarnya Barisan Nasional sudah buat 51 tahun. Memang betullah sebab 51 tahun Barisan Nasional memerintah, tidak ada parti lain yang memerintah.
Akan tetapi apakah ukuran kejayaan 51 tahun itu? Sebab itu wakil daripada pembangkang, termasuk dari Ipoh Timur mengajak kita membuat perbandingan dengan satu negara lain yang bermula hampir sama dengan negara kita iaitu Taiwan, negara yang sangat disanjungi oleh rakan-rakan sebelah sana sehingga mereka berkunjung beramai-ramai, dengan rombongan. Begitu seronok mereka pergi walaupun diatur dengan tergesa-gesa, last minute arrangement dengan izin.
Akan tetapi tak apa, kita ambil Taiwan sebagai satu ukuran. Mereka bermula inferior daripada kita, satu negara yang didiami oleh rakyat yang sebahagiannya lari meninggalkan Tanah Besar China untuk membangunkan sebuah negara baru. Dan hari ini dari segi population nya, Taiwan ini hampir sama dengan kita, lebih kurang samalah tetapi mereka telah jauh ke depan. Dia punya hasil, dia punya teknologi, dan kemajuannya berkali ganda atau berkali-kali ganda lebih baik daripada Malaysia.
Jadi kalau kita banding dengan sebuah negara yang lebih kurang sama bermula dengan negara kita, baru kita nampak bahawa kita ini ketinggalan. Maka di sinilah kita di pihak Pakatan Rakyat mencadangkan suatu alternatif yang lain, kita berpindah kepada satu kerajaan baru untuk membuat satu lonjakan. Kalau kita nak ikut natural growth yang dibuat oleh Barisan Nasional ini, maka sentiasa kita akan ketinggalan, tak akan dapat nak catch up dengan negara-negara lain.
Jadi kita kena bermula dengan cara yang baru. Jadi sebab itulah pihak kita memujuk, mengajak pihak sebelah sana untuk sama-sama mendukung dan menyokong perjuangan kita ini. Saya tadi sebak juga mendengar daripada Yang Berhormat Sri Gading menyatakan dilema beliau keluar daripada rumah, dilema isteri beliau keluar daripada rumah yang ditanya sama ada akan belot atau tidak. Ini bukan persoalan belot, kalau beliau ikhlas, beliau boleh berkata kepada rakyat, ini bukan masalah belot, ini masalah kita hendak mencari yang lebih baik. Kalau rakyat kita bersetuju dan rakyat sudah menunjukkan persetujuan untuk pergi ke arah yang lebih baik, saya yakin pengundi-pengundi Sri Gading akan faham kenapa Sri Gading berhajat sama untuk dalam satu team baru membawa kepada perubahan ini.
Kita tidak menjanjikan apa-apa seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Machang tadi. Kita hanya menjanjikan bahawa ini adalah satu team baru dengan idea-idea dan semangat dan dengan rekod yang baik untuk diketengahkan kepada masyarakat. Jadi tak perlulah rasa berada dalam dilema untuk berhadapan dengan masyarakat. Dilema kita ialah untuk terus kekal dalam satu kerajaan yang berterusan menggagalkan hasrat rakyat untuk membangun dengan lebih pantas. Kalau pada kadar yang kita bergerak pada hari ini, kita tidak akan dapat bersaing, tidak akan dapat setaraf dengan negara-negara lain yang bermula sama dengan kita. Malah kita sekarang ini mula ditinggalkan oleh negara-negara yang dulunya jauh lebih inferior dalam semua aspek.
Kalau Yang Berhormat-Yang Berhormat dalam Dewan ini mengenang acara sukan misalnya. Kalau dulu kita merupakan satu kuasa besar dalam sukan hoki dalam dunia. Kita antara tiga, empat negara dalam dunia yang menjadi kuasa besar hoki. Ketika itu, Korea Selatan yang kita tidak pernah dengar main hoki, main bola pun tidak masa Pesta Bola Merdeka zaman kita muda-muda dulu, tidak ada namalah Korea Selatan ataupun Jepun. Hari ini mereka melangkah maju jauh, Korea Selatan menjadi kuasa hoki yang tidak dapat disaingi oleh Negara kita.
Jadi bagaimana ini boleh berlaku? Melainkan berlaku suasana yang begitu malang dalam pengurusan dalam negara kita ini. Pagi tadi kita berbincang mengenai prestasi sukan dalam negara kita. Menteri Belia dan Sukan telah memberikan jawapan bahawa sebenarnya masih lagi dalam denial bahawa Negara ini sebenarnya hebat kecuali beberapa sukan yang dulunya kita hebat. Akan tetapi kita tidak mahu mencari sebab puncanya, kenapa misalnya bola sepak berada dalam keadaan sungguh memalukan, kedudukan 164 tetapi hari ini dalam surat khabar kita berbangga kerana telah dapat mengalahkan sebuah negara 4-0, negara pada kedudukan 175. Hebat, tetapi itulah kedudukan kita. - mppas »
1 comment:
Salam saudara tuan Nik Hassan.
Saya tak rujukkan kepada saudara sebenarnya. Malah, saya terima kasih kerana sebaran maklumat di pihak saudara. Lagipula, saudara tak edit mana2 tulisan saya dan ada sertakan link. Itu lebih dr cukup. :)
InshaAllah, moga Allah memberi kekuatan kepada kita semua.
Nak tanya, tuan ni calon PAS kah dulu? Sebab macam familiar..
Post a Comment