20 October 2008

Khalid Samad : PAS sudah cadang portfolio - Malaysiakini

SHAH ALAM, 20 Okt - Pas sudah mencadangkan portfolio yang dikehendaki dalam kerajaan baru yang bakal dibentuk Pakatan Rakyat (PR), kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Katanya cadangan tersebut hasil daripada perbincangan peringkat pertama pembentukan kerajaan baru dengan PKR dan DAP yang berlangsung baru-baru ini.

“Beberapa portfolio yang kita minta sudah dikemukakan, tetapi saya tidak mahu cerita apa jenis portfolio yang dikehendaki,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri dan Rumah Terbuka PR, semalam.

Mengulas lanjut penubuhan jawatankuasa pembentukan kerajaan baru dengan PKR dan DAP, Khalid berkata apabila ia ditubuhkan maka frasa penubuhan kerajaan baru memasuki peringkat terakhir sebelum kerajaan baru Pusat dibentuk.

“Sebelum ini kita tidak tubuh jawatankuasa ini kerana ia nampak (terjadi) atau tidak, sekarang kita membincangkan perkara lebih serius yang melibatkan Kabinet, komposisi dan dasar.

“Oleh yang demikian kita telah bersedia untuk mengambil alih kerajaan apabila menghantar lima pemimpin iaitu Presiden, Timbalan Presiden, dua Naib Presiden dan Setiausaha Agung dalam jawatankuasa tersebut,” katanya.

Jelasnya perkara yang telah dipersetujui di peringkat pertama ialah melibatkan Kabinet yang akan mengandungi majoriti Islam dan menentukan kerajaan yang bebas daripada rasuah.

Perbincangan tersebut juga tidak berlaku dalam sebarang kontroversi kerana Pas mahukan proses perubahan berlaku dalam keadaan berperingkat.

Mengulas lanjut mengenai kegusaran pihak tertentu tentang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang mungkin disandang oleh orang bukan Melayu, Khalid berkata perbincangan tentang jawatan tersebut masih belum dilakukan.

“Bagaimanapun bagi saya ia bukan satu isu, yang penting jawatan nombor satu adalah Muslim, sekiranya timbul masalah kita boleh lantik jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada tiga orang di mana menteri-menteri akan diagihkan di bawah TPM.

“Oleh kerana jawatan TPM bukan satu jawatan yang disebut dalam perlembagaan, maka kaedah tersebut boleh digunakan,” katanya.

Jelas Khalid, DAP mengetahui tentang sensitiviti berhubung jawatan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar ketika ditemui selepas melancarkan keahlian seumur hidup parti Keadilan di dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya mengesahkan cadangan tentang permohonan portfolio oleh Pas dan perkara itu telah dibincangkan.

“Ada cadangan dan kita akan bincang, masih awal lagi (nak umum sekarang),” katanya. - PAS

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese