20 October 2008

PENGUNDURAN BUKAN PERALIHAN KUASA - Malaysiakini

SEBELUM ini rakyat sudah dimaklumkan bahawa satu peralihan kuasa akan berlaku pada Jun 2010 di mana Perdana Menteri akan berundur dan memberi laluan kepada timbalannya sebagai pengganti. Ramai juga di kalangan pimpinan tertinggi Umno yang tidak berpuas hati dengan pelan peralihan ini walaupun ia telah dipersetujui oleh MT Umno. Dengan pelan ini, maka jawatan presiden dan timbalan presiden diputuskan untuk tidak dipertandingkan. Rungutan-rungutan pimpinan kanan Umno seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin nampaknya memberikan kesan besar kepada keputusan ini.

Ku Li telah lama diketahui sikapnya yang tidak begitu sebulu dengan Pak Lah. Beliau mula ’berbulu’ dengan Pak Lah apabila Presiden Umno meninggalkan Team B selepas pemilihan Umno pada 1987. Dalam pemilihan Umno pada 2004 dahulu pun, Ku Li bersuara juga untuk merebut jawatan yang telah lama diidamnya iaitu Presiden Umno. Kini Ku Li lebih bertenaga untuk merebut jawatan tersebut ekoran kelemahan pentadbiran Pak Lah dan seluruh kabinet BN yang terlalu banyak. Ku Li telah diakui oleh rakyat tentang jasa dan kebolehannya. Beliaulah yang membina Petronas, Bank Bumiputera dan beberapa institusi bumiputera yang lain, selain membina PWTC, Fleet Group, Hatibudi dan lain-laain untuk Umno. Cuma Ku Li sudah dilihat melewati zamannya.

Yang lebih aneh ialah apabila ahli-ahli MT Umno yang sama-sama bersetuju untuk jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan berebut-rebut menawarkan diri untuk jawatan tersebut. Ku Li sudah lama menyebut mahu bertanding jawatan Presiden Umno, sedangkan Najib Razak masih malu-malu. Tiba-tiba, orang kuat Najib, Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno. Tetapi menarik diri selepas Pak Lah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno. Dikhabarkan penarikan diri itu adalah di atas desakan Dato’ Najib. Tidaklah diketahui apakah muslihat najib tetapi Zahid telah memperlihatkan sikap tidak menentunya ” sekejap nak sekejap tak nak ”, ini memungkinkan penyokong-penyokong Zahid akan hilang kepercayaan kepadanya. Kini jawatan Presiden Umno akan memperlihatkan petarungan yang sengit antara Muhyidin Yasin, Ali Rustam dan Mohammad Taib. Walaupun Najib tidak berkata sepatah untuk melawan Pak Lah, tetapi pengumuman Zahid Hamidi sudah cukup untuk menggambarkan senario sebenar. Kehadiran calon lain seperti Ali Rustam dan Nur Jazlan hanya kacau daun sahaja.

Muhyiddin Yassin dilihat lebih berpotensi untuk menjadi orang nombor dua, kerana beliua mendapat sokongan Tun Mahathir untuk membentuk persefahaman dengan Ku Li. Isunya sekarang ialah Pak Lah hanya akan berundur tetapi iddahnya sebagai Presiden Umno berakhir Mac 2009. Apa tujuan Pak Lah mengambil tempoh yang begitu lama untuk berundur daripada Presiden Umno dan Perdana Menteri. Apakah agenda politik Pak Lah dalam Kementerian Pertahanan? Ramai pemerhati politik yang mengaitkannya dengan isu Altantunya – kes yang akan didengar keputusan pendakwaan pada akhir Oktober ini. Bagaimana jika tiba-tiba nama Najib dikaitkan? Selamatkah Najib? Ada pemerhati mengatakan pengumuman tidak bertanding tidak menjejaskan hak Pak Lah. Ada benar juga, kerana Khairy Jamaluddin dihebohkan sedang menguasai Bahagian-bahagian Umno sekarang ini. Lagipun, jika Pak Lah bnar-benar berundur, bermakna Khairy juga akan diundurkan sama!

Sama ada regu Najib-Muhyidin atau regu Ku Li-Muhyiddin yang akan menjadi pilihan dalam pemilihan kali ini, isu yang timbul tetap sama. Ia bukan satu peralihan kuasa seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Adakah ia satu peralihan kusa? Tidak! Ia hanya peralihan individu pemimpin, sedangkan yang berkuasa tetap sama iaitu Umno/BN. Peralihan kuasa sepatutnya difahami sebagai peralihan daripada sebuah kerajaan yang lemah dan korup kepada kerajaan baru yang cekap dan telus. Jika yang beralih hanya individu, sedangkan dasar dan amalan politik parti pemerintah itu masih sama, maka ia tidak akan memberi sebarang makna.

Rakyat harus melihat pengalaman Thailand dalam peralihan ini. Dahulu rakyat memberontak sehingga berlaku rampasan kuasa kerana menolak penyelewengan Thaksin, tetapi apabila diganti oleh Samak, isu yang sama timbul. Dalam masa beberapa bulan sahaja, ipar Thaksin, Somchai Wongsawat pula dikaitkan dengan isu rasuah. Sehingga hari ini Bangkok terus bergolak. Apa maknanya? Ia adalah satu peralihan individu yang berkuasa tetapi mengekalkan dasar dan amalan politik korup yang sama. Mereka dari kumpulan yang sama, yang sama-sama bergelumang dalam noda-noda politik yang kotor, jijik dan membusukkan. Jika kita menggilirkan antara mereka, pasti menghasilkan keputusan yang sama.

Peralihan daripada Pak Lah kepada Najib atau Ku Li tidak akan mencapai objektif untuk menarik semula sokongan atau keyakinan rakyat dan pelabur. Selama ini keyakinan diberikan kepada kerajaan, bukan individu pemimpin. Jika kita menukar pemimpin, tetapi mengekalkan kerajaan yang sama, bermakna kita akan terus berada dalam kapal yang sama Cuma berbeza nakhoda. Sedangkan yang tidak diyakini sekarang ialah kapal BN yang sudah bocor dan hampir karam. Siapapun yang menjadi nakhoda, dia tidak akan berupaya menyelamatkan keadaan. Langkah yang lebih bijak ialah bertukar kapal sekarang dengan memilih kapal yang lebih stabil, kukuh dan berkeupayaan untuk meneruskan perjuangan rakyat.

Semua rakyat tahu, bahkan berkali-kali diungkitkan oleh parti-parti komponen BN yang lain bahawa Umno adalah parti yang bermasalah. Di dalamnya penuh dengan rasuah, penyelewengan, perkauman, salah laku, kezaliman, penindasan dan sebagainya sehingga rakan-rakan komponen mereka sendiri sudah jijik dengan Umno. Dasar-dasar dan amalan politik mereka sudah tidak relevan sekarang ini. Rakyat mahukan sebuah parti yang telus, cekap dan beramanah. Rakyat mahukan kerajaan yang adil dan berkebajikan. Rakyat mahukan pemimpin yang bertanggungjawab, berwawasan dan beretika dalam pentadbiran. Umno sudah kehilangan semuanya!

Peralihan kuasa yang sebenar dan bermakna untuk rakyat ialah peralihan yang melibatkan seluruh dasar dan amalan politik, bukan sekadar individu pemimpin. Rakyat memerlukan sebuah parti baru untuk mentadbir negara dengan lebih baik dan menjamin kepentingan rakyat terbela. Pakatan Rakyat telah menawarkan pakej pemulihan yang meyakinan kepada rakyat untuk menggantikan dasar-dasar lapuk BN yang sudah ketinggalan zaman. Peralihan kuasa ini mestilah menjadi peralihan daripada BN kepada Pakatan Rakyat supaya rakyat benar-benar menikmati perubahan politik di negara ini, bukan seperti yang dialami oleh Thailand!

YB Hj Mahfuz Omar

Ahli Parlimen Pokok Sena

Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese