Perbahasan bajet 2009 pada 20 Oktober 2008
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya bangun untuk sama-sama membahaskan belanjawan Bajet 2009 yang telah pun dihurai dengan panjang lebar oleh pandangan Ketua Pembangkang dan di kebanyakan sudut mungkin telah puas dihujahkan dengan penghujahan yang kukuh dan tuntas oleh beberapa lagi Ahli Yang Berhormat daripada Pakatan Rakyat.
Saya mahu memulakan perbahasan ini dengan mengungkap satu coretan kolumnis Media Perdana yang menceritakan bagaimana pengalaman beliau yang sekali gus merupakan kekecewaan beliau dan rintihan beliau yang menyebutkan tentang bagaimana sepinggan nasi putih kosong yang dibeli di restoran nasi kandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) naik daripada 60 senhingga menjadi RM1.00.
Tatkala ditanya mengapa kenaikan mendadak seperti ini, taukenya menyebut bahawa ia adalah kerana harga petrol naik. [Ketawa] Semua Ahli Dewan yang mulia ini maklum mulai 5 Jun yang lalu harga minyak petrol naik daripada RM1.92 bagi RON 97 kepada RM2.72 seliter, lonjakan 78 sen, paling bersejarah di negara ini.
Meskipun telah tiga kali diturunkan harga petrol ini iaitu pada 23 Ogos sebanyak 15 sen, awal September 10 sen dan baru-baru ini 15 Oktober turun 15 sen, jumlah harga yang telah turun ialah 40 sen. Namun pada setiap penurunan hinggalah ke hari ini nasi putih kosong di restoran nasi kandar di Jalan TAR ini masih pada harga RM1.00 sepinggan.
Tuan Yang di-Pertua, walaupun ada lawak-lawak yang beliau coret dan oleh kerana semuanya agak celik, saya tidak perlu lanjutkan dengan salahnya telahan dahulu bahawa semua yang naik itu sepatutnya turun juga, tetapi nyata dalam telahan ini beliau tersasar dan tersilap.
Tuan Yang di-Pertua, inilah antara keluhan rakyat teramai. Suri rumah juga mengeluh dan merintih harga keperluan di dapur naik dan terus naik. Bawang, cili, asam jawa semuanya naik. Tepung, bayam, kacang panjang dan ikan kembung yang menjadi penanda aras rakyat bawahan (marhaen) kali ini tidak boleh lagi dibeli dengan harga RM8 sekilo. Sekarang ia sudah melebihi RM12, RM13 dan mungkin juga RM15 sekilo.
Tuan Yang di-Pertua, itulah satu snapshot kedudukan rakyat yang berlatar belakang perbahasan ataupun pembentangan Bajet 2009, tidak termasuk tambang bas naik, bas sekolah naik, tambang teksi naik, cendol naik, karipap naik, semuanya yang disebutkan. Namun apa yang menjadi malangnya, saya lanjutkan, dalam suasana yang seumpama ini apabila dibahaskan oleh semua Ahli Yang Berhormat daripada Pakatan Rakyat dan kadang kala ada juga insinuasi-insinuasi dari Ahli Yang Berhormat daripada sebelah sana, khususnya Sabah dan Sarawak yang juga merintih memberitahu Dewan yang mulia ini.
Paling malang adalah kerana apabila setelah penghujahan itu dibuat bahawa bajet perlu dinilai semula dengan kadar yang seberapa segera dan dibentangkan kembali. Kita lihat sindrom penafian Kerajaan Barisan Nasional masih lagi pada tahap yang cukup kukuh walaupun telah diberikan satu deraan yang agak parah setelah 8 Mac, tsunami politik yang melanda mereka.
Tuan Yang di-Pertua, kita mahukan adjustment yang kritikal, adjustment yang penting untuk dibuat kerana seluruhnya unjuran-unjuran khususnya bagi persoalan pendapatan sudah tidak boleh lagi diguna pakai kerana jauh tersasar. Ini telah pun dibahaskan dan mungkin saya akan menimbulkannya kemudian. Sekali gus apabila kita lihat dan saksikan respons yang sedemikian maka kita mempertikaikan sejauh mana keprihatinan kerajaan dalam benar-benar menggarap pahit getirnya kedudukan rakyat khususnya rakyat marhaen, rakyat teramai dan yang berpendapatan rendah. - mppas »
No comments:
Post a Comment