Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali berkata, Pemuda PAS perlu menjadi pembekal tenaga dengan menyediakan keperluan terbaik kepada rakyat dalam usaha memperkasa kepimpinan sedia ada.
Beliau berkata, Pemuda juga perlu berusaha meletakkan diri pada kedudukan terbaik di peringkat ini supaya mereka mampu menghadapi cabaran seterusnya dalam kepimpinan.
“Sembilan puluh peratus pemimpin di peringkat negeri yang ada sekarang telah pun melalui Dewan Pemuda dan saya sendiri menjadi Ketua Pemuda PAS Pusat selama 12 tahun.
“Pemuda kena sedar, mereka menjadi pembekal tenaga kepada kepimpinan dan buatlah yang terbaik, kena buat sepanjang masa supaya dapat meletakkan diri sebaik mungkin bagi menghadapi cabaran seterusnya selepas tidak berada dalam Pemuda,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penutup Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2008 Peringkat Negeri Terengganu di Pantai Pandak, Chendering, di sini, kelmarin.
Menurutnya, Pemuda seharusnya melakukan persediaan memantapkan ekonomi diri dan keluarga bermula dari sekarang tanpa bergantung pada pihak lain bagi meyakinkan semua pihak mereka mampu berjaya dalam pelbagai bidang.
Katanya, usaha tersebut mampu mempamirkan semangat Pemuda dalam perjuangan di samping meraih penghormatan daripada pelbagai pihak terutamanya keluarga dan masyarakat setempat.
“Gunakan seluruh kepakaran yang ada dan bekerja dari sudut ekonomi, jangan bergantung pada orang lain kerana jika tidak, kita tidak mampu meluaskan pengaruh di samping mendapat pandangan negatif daripada masyarakat,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan supaya Pemuda sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan, bukan sahaja bagi melahirkan kepimpinan bersifat ulama, malah mampu menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang.
1 comment:
Permintaan saya hanya satu - saya harap Mustafa Ali akan letak jawatan secepat mungkin.
Post a Comment