Sekumpulan pemuda yang diketuai Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Lokman Noor Adam berkonvoi dengan kereta dan motorsikal di depan bangunan ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengugut untuk membakarnya seandainya PKR tetap menyertai perhimpunan anjuran BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.
Kira-kira 300 pemuda yang berpakaian merah berlambang "Patriot" ini berhimpun di hadapan bangunan yang terletak Merchant Square Tropicana, Petaling Jaya, pada jam 11.20 malam tadi lengkap dengan bendera UMNO dan melaung slogan mengutuk PKR dan mendakwa PKR sebagai dalang di belakang himpunan Bersih 2.0 itu.
Ketika kejadian terdapat 8 orang pekerja PKR di bangunan tersebut.
Walaupun terdapat kehadiran Polis dan sebuah balai polis di bangunan tersebut mereka tetap memberi pelbagai ancaman serta mencemuh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.
Malah polis membiarkan Lokman dan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar memberi ucapan dan ugutan.
Bagaimanapun kira-kira 20 minit kemudian, kehadiran lebih ramai Angkatan Muda Keadilan serta Setiausaha PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Exco Selangor Elizabeth Wong membuatkan polis lebih bertegas dan Pemuda UMNO meninggalkan tempat tersebut.
Satu laporan Polis dibuat sejurus selepas itu di Balai Polis Tropicana oleh Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Arip.
Laporan tersebut diletakkan di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan Ugutan Jenayah.
Patriot ditubuhkan oleh Pemuda UMNO dan Kelab Putra 1Malaysia, mendakwa dirinya mewakili suara orang ramai dalam menentang perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai ini.
Saifuddin ketika mengulas perkara ini menyatakan betapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden UMNO dan Ketua Pemudanya Khiary Jamaluddin perlu menjawab tuduhan yang menyatakan Pakatan Rakyat dan NGO selalu menimbulkan masalah dan huru-hara sedangkan ianya bermula dari pihak mereka sendiri.-tvs
No comments:
Post a Comment