Selepas Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Srenaavaasan dan Sasterawan Negara, A. Samad Said dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung himpunan aman rakyat pada 9 Julai depan, kali ini giliran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula.
Anwar Ibrahim dipanggil memberi kenyataan dipercayai berhubung seruan kepada rakyat agar menyertai himpunan BERSIH 2.0 dalam satu ceramah di Brickfield.
Menurut satu kenyataan Biro Komunikasi PKR lewat malam tadi, Anwar diminta hadir jam 5 petang di IPD Dang Wangi.
Kenyatan media itu menyebut siasatan itu dibuat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan.
Dalam perkembangan sama, turut dipanggil untuk disiasat adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan anggota Lawyers for Liberty, Latheefa Koya dan Ahli parlimen PKR Subang, R Sivarasa Rasiah.
Sementara itu, hampir 100 pemuda Umno berhimpun di hadapan Ibu Pejabat PKR di Toropicana kira-kira jam 11 malam tadi.
Konvoi bermotor dan kereta itu difahamkan diketuai Exco Pemuda Umno, Lokman Adam.
Mereka turut membuat ucapan mengugut Anwar dan Ambiga agar membatalkan hasrat mengadakan himpunan aman tersebut bulan depan.
Mereka juga turut mengugut untuk memusnahkan ibu pejabat parti itu jika himpunan mahu diteruskan.
Menulis di twitter, Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution menyifatkan tindakan tersebut satu provokasi dan mempersoal kenapa tiada sebarang halangan dari pihak polis.
“Tindakan provokasi samseng pemuda Umno dikepalai Lokman Adam serang HQ PKR …PM Najib apa khabar?
“Ucapan samseng Umno ugut DSAI dan Ambiga …konvoi motorsikal dan kereta, ada permit?
“Samseng Umno ugut musnahkn HQ PKR jika teruskan himpunan Bersih 9 Julai …apa khabar PM Najib, siapa ganas?” soalnya yang turut bergegas ke tempat kejadian selepas itu.
Menurutnya juga, lebih separuh remaja bawah umur dalam kumpulan itu memakai t-shirt merah “patriot” dan membawa bendera Umno.
Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tropicana.
No comments:
Post a Comment