14 April 2011

Temu bual TV Raja Petra tak akan ubah SD



Naib Presiden PKR N. Surendran berkata pendedahan dibuat Raja Petra Raja Kamaruddin, disiarkan TV3 malam tadi, tidak akan memberi apa-apa kesan ke atas akuan bersumpah (SD) dibuat blogger kontroversial itu tiga tahun lalu.

Jelas Surendran (gambar), sebarang temu bual atau kenyataan disiarkan dalam mana-mana media tidak boleh digunakan untuk mengubah kandungan SD termasuk dibuat Raja Petra pada Jun 2008.

Semalam, Raja Petra mendakwa beliau tidak pernah menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau isterinya Datin Seri Rosmah Mansor terbabit dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu.

Sebaliknya pengendali portal Malaysia Today itu berkata, beliau didesak dan dipengaruhi untuk berbuat demikian oleh beberapa individu yang tidak mahu Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri.

Raja Petra berkata, SD yang dibuatnya pada 18 Jun 2008 hanya bersandarkan maklumat diperoleh daripada beberapa individu.

Tegas Surendran, pengakuan Raja Petra semalam bercanggah dengan SD 2008.

“Saya merujuk temu bual Raja Petra Kamaruddin yang disiarkan TV3 semalam dan pengakuan dibuat itu bertentangan dengan SD yang dibuatnya pada 18 Jun 2008.

“SD yang dibuat Raja Petra Kamaruddin itu menuduh Najib dan isterinya terlibat dalam pembunuhan Altantuya Sharibuu,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Jelas beliau, pengakuan terbaru Raja Petra itu tidak akan mengubah kandungan pengakuan yang telah dibuat sebelum ini.

“Pengakuan dan kenyataan yang dibuat Raja Petra tiga tahun lalu sudah disahkan, SD sudah dibaca dan ditafsirkan.

“Jadi temu bual dengan televisyen tidak akan mempengaruhi kandungan atau kebenaran dalam SD kecuali jika wujud unsur paksaan, malah Raja Petra juga telah mengesahkan SD dengan begitu pasti,” katanya.

Dalam SD 2008 itu, Raja Petra berkata beliau menerima maklumat daripada beberapa individu kononnya Rosmah berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh.

Raja Petra berkata, beliau menerima maklumat berkenaan, daripada beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan beberapa tokoh politik, termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Raja Petra, seorang pegawai perisik angkatan tentera dikenali sebagai Leftenan Kolonel Azmi Zainal Abidin juga memberi maklumat yang sama.

Tambah Surendran, sehingga kini masih tiada penjelasan kukuh daripada Najib dan pentadbiran berhubung tuduhan dibuat oleh satu akhbar Perancis, Liberation yang mengaitkan Presiden Umno itu dengan pembunuhan Altantuya dan penjualan tiga kapal selam negara itu.

“Ketika itu Najib adalah Menteri Pertahanan dan telah bertanggungjawab atas pembelian kapal selam itu. Persoalan ini mempunyai kepentingan besar kepada umum. Juga masih tiada penjelasan yang boleh diterima berhubung mengapa syarikat Malaysia menerima pembayaran berjumlah Euro 114 juta dari perjanjian pembelian kapal selam.

“Ini adalah satu perkara yang mengecewakan apabila kerajaan Perancis menyiasat perkara ini, sebaliknya Malaysia pula tidak ambil tahu. Tuduhan-tuduhan ini begitu serius dan akan memberikan kesan serta perlu diwujudkan suruhanjaya diraja bagi menyiasatnya,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini Raja Petra mendedahkan konspirasi yang cuba mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya dengan harapan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, boleh menjadi perdana menteri. - themalaysianinsider

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin