23 April 2011

Muktamar PAS fokus PRU 13



Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata Muktamar kali ke-57 yang diadakan pada 3 hingga 5 Jun depan dijangka menyentuh persediaan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 kelak.

Beliau menafikan wujud perbincangan mengenai isu PAS dalam Pakatan Rakyat, memandangkan kekuatan mereka sebagai tiga parti yang bergabung iaitu bersama PKR dan DAP sentiasa diperteguhkan dari semasa ke semasa.

Menurut Mustafa, isu mengenai kerajaan perpaduan yang pernah dicetuskan dalam muktamar dua tahun lalu juga dianggap selesai dan tidak akan dibangkitkan lagi pada muktamar kali ini.

“Isu PAS dalam Pakatan tidak akan dibangkitkan disebabkan kami sentiasa memperteguhkan Pakatan dari semasa ke semasa. Manakala bagi isu kerajaan perpaduan dengan Umno juga sudah tutup.

“Salah satu isu yang akan diketengahkan dalam ucapan dasar adalah tentang PRU ke-13,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS disini hari ini.

Ketika ditanya pemberita mengenai tindakan PAS mengadakan pemilihan walaupun kemungkinan pilihan raya umum bakal diadakan dalam masa terdekat, Mustafa berkata PAS mempunyai masa yang cukup untuk bersatu kembali dengan kepimpinan baru.

“Kita cukup masa untuk bersatu…..tidak akan berlaku perpecahan. Pemilihan adalah satu episod dalam perjalanan PAS, habis muktamar kita akan bekerja untuk pilihan raya.

“Walau ada pemilihan sekalipun tidak akan rosakkan perpaduan dalam parti melainkan pilihan raya mahu diadakan pada Jun,” katanya.

Isu Hadi, Mustaffa membisu

Menyentuh mengenai kepimpinan Presiden Datuk Abdul Hadi Awang yang pada waktu ini dikritik hebat dalam akhbar, Mustafa mengambil pendekatan berbeza dengan bersikap berkecuali untuk memberi komen ke atas pemimpin nombor satu PAS itu.

Beliau sebaliknya berkata kegagalan pilihan raya negeri di Sarawak dan beberapa pilihan raya kecil tidak akan memberi kesan dalam pemilihan bagi muktamar pada kali ini.

“Tok Guru (Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat) dah bagi komen sebelum ini bahawa kepimpinan seseorang tidak boleh diukur daripada kegagalan dan kejayaan daripada pilihan raya. Sedangkan PAS saya lihat lebih banyak berjaya daripada gagal.

Tidak seharusnya kita bebankan kepada seseorang, tidak boleh kata pengarah pilihan raya gagal atau sebaliknya sebab kita bekerja secara kolektif.

“Saya ikuti komen di akhbar-akhbar dan ia cukup positif kepada Hadi hari ini…Jadi saya berkecuali, tidak perlu komen,” katanya.

Siapa berkempen berlebihan tidak akan menang

Menurut Mustafa terdapat 179 kawasan menjalankan mesyuarat bermula April hingga Mei untuk mencalonkan pemimpin dan tarikh tutup bagi mereka menghantar borang pencalonan adalah pada 15 Mei depan.

Sementara itu menyentuh mengenai kempen pemilihan melalui laman sosial seperti facebook beliau berkata berdasarkan pengalaman lalu jika perkara tersebut berlaku, calon tersebut tidak akan menang.

Beliau menjelaskan bahawa mengikut etika PAS, ahli tidak boleh meminta sebarang jawatan.

“Dalam budaya PAS masing-masing sudah tahu etika kempen. Perwakilan kenal pemimpin dari segi potensi. Dari pengalaman lepas sesiapa yang kempen secara berlebihan tidak akan menang.

“Etika PAS tidak boleh minta jawatan kerana ia akan disalah-ertikan. Jika ada yang guna laman web untuk berkempen…..itu pengikut-pengikut yang lakukan kerana pemimpin sendiri saya tahu mereka tidak akan berkempen,” katanya.

Media melaporkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu yang akan bertanding jawatan timbalan presiden PAS kini giat berkempen melalui facebook dengan menggunakan nama ‘Kelab Mohamad Sabu Dot Com’.

Muktamar PAS Nasional akan diadakan bermula dari 3 hingga 5 Jun depan di Taman Melewar, Gombak.

Bagi muktamar Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan diadakan pada 1-2 Jun masing-masing di Dewan Banquet MBSA dan di Dewan SUK, Shah Alam.-FMT

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese