11 April 2011

Helikopter terhempas lepas turunkan rombongan TPM



Sebuah helikopter terhempas dari ketinggian 10 kaki ketika hendak berlepas dari Dataran Sibu.

Kejadian itu berlaku selepas helikopter tersebut menurunkan anggota rombongan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum kejadian tersebut, tiga helikopter membawa rombongan timbalan perdana menteri balik dari Bintangor ke Sibu

Bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddn tidak menaiki helikopter yang terhempas itu.

Menurut OCPD Sibu, ASP Shafie Ismail, kejadian itu berlaku pada jam 1.50 tengahari selepas helikopter itu menurunkan semua penumpangnya di Sibu Townsquare.

"Helikopter tersebut hendak berlepas balik ke lapangan terbang untuk disimpan, (tetapi) kemudian jatuh ketika cuba terbang. Ia berada pada ketinggian kira-kira 10 kaki," katanya.

Berikutan itu, juruterbangnya mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital.

Dua daripadanya adalahmilik Hornbill Skyways, dan helikopter yang terhempas itu adalah dari Sabah Air.

Kejadian itu dipercayai berlaku akibat hujan lebat di Sibu.

Sementara itu, Bernama melaporkan juruterbang helikopter itu, satu-satunya yang berada di dalam pesawat itu ketika kejadian, dihantar segera ke Hospital Sibu untuk rawatan.

Keadaan juruterbang itu masih belum diketahui.

Setiausaha Akhbar Muhiyddin, Hafiz Abdul Halim yang ketika itu sedang berjalan menuju ke RH Hotel, kira-kira 100m dari dataran itu terkejut dengan kejadian itu.

"Helikopter itu tidak mengalami apa-apa masalah semasa kami berlepas dari Bintangor atau semasa dalam penerbangan. Saya sedang berjalan menuju hotel apabila saya dengar ia terhempas," kata Hafiz yang sebelum itu menaiki helikopter itu bersama-sama dua pegawai keselamatan.

Muhyiddin dan pegawai khas beliau yang menaiki helikopter berasingan turut mendarat di dataran yang sama sebelum kejadian itu. Mereka juga baru pulang dari Bintangor.

"Timbalan Perdana Menteri dan rombongannya selamat," kata Hafiz. - MKini

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin