06 January 2011

Sultan Selangor kecewa titah dimanipulasikan



Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang memanipulasikan titah Baginda terdahulu sehingga mengelirukan rakyat.

“Beta merasa amat terharu dan kesal kerana banyak titah-titah beta yang telah dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan telah mengelirukan ramai rakyat beta,” katanya.

Sultan Selangor berkata demikian dalam titah ucapan semasa Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesarannya kepada Raja Muda Selangor serta pelantikan beberapa pegawai kerajaan negeri di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Baginda pada ketika itu menegaskan tidak menyebelahi mana-mana pihak atau parti politik.

Baginda sebaliknya mahu Selangor berada dalam keadaan aman serta mahu rakyatnya mencapai kemajuan dan pembangunan jika setiap pihak menjalankan tugas dengan jujur, telus dan penuh komitmen.

“Justeru itu, beta menyeru dan menasihatkan supaya janganlah tiap-tiap perkara itu dipolitikkan kerana ianya akan membebankan rakyat dan melambatkan proses kemajuan,” titahnya.

Selain itu, baginda dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang baru.

Baginda beri amaran

Baginda bagaimanapun memberi amaran agar pelantikan Khusrin itu tidak dipolitikkan dan disensasikan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan rakyat.

“Beta ingin menegaskan bahawa pelantikan SUK ini adalah mengikut peraturan serta prosedur yang telah ditetapkan oleh Undang Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Perlembagaan Persekutuan.

“Harapan beta kepada SUK yang baru agar dapat menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik dan cemerlang,” titahnya.

Baginda turut menitahkan supaya seluruh pegawai kerajaan Selangor memberikan kerjasama yang baik kepada Khusrin supaya perjalanan urusan pentadbiran negeri berjalan lancar.

“Beta juga menitahkan supaya SUK melaksanakan dasar kerajaan yang memerintah Selangor mengikut undang-undang dan peraturan
semasa,” titahnya.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese