03 November 2010

Tiada pertemuan semuka, Hillary hubungi Anwar sentuh kes liwat



Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada pertemuan empat mata dengan Hillary Clinton, tetapi beliau memaklumkan yang Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu ada menghubunginya malam ini untuk bertanya tentang keadaan beliau, isterinya dan juga kes liwat kedua yang sedang dihadapinya.

Ketika ditemui wartawan di sini malam ini, Anwar memberitahu, Clinton meminta maaf kepada isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana gagal bersapa dengan beliau pada satu majlis di ibu negara pagi tadi.

“Beliau bertanya tentang saya dan Azizah dan juga meminta maaf kerana pada majlis pagi ini, beliau hanya diberitahu tentang kehadiran Azizah selepas berakhirnya majlis itu.

“Dan, beliau meminta saya menyampaikan salamnya dan meminta maaf kerana tidak menyedari kehadirannya ketika dialog pagi ini,” kata Anwar selepas satu majlis kempen di sebuah restoran di sini malam ini.

Anwar menambah, Clinton juga memperlihatkan keprihatinan berhubung kes liwat kedua yang sedang dilaluinya sekarang dan memaklumkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat mengikuti dengan rapat kes tersebut – yang kedua dalam sedekad ini.

“Beliau bercakap mengenai keadaan saya dan saya memberitahu beliau bahawa saya perlu melalui proses perundangan sewajarnya.

“Beliau mengatakan bahawa Amerika Syarikat ambil berat dan mahu kerajaan Malaysia menghormati lunas perundangan,” kata Anwar lagi.

Anwar berada di sini dalam siri kempen pilihan raya kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah.

Pengundian berlangsung Khamis ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan kerajaan tidak mempunyai halangan bagi Clinton untuk menemui ketua pembangkang itu kerana sudah menjadi adat bagi para pemimpin untuk bertemu kedua-dua pemimpin kerajaan dan pembangkang dalam mana-mana lawatan negara.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagaimanapun berkata tindakan itu pada masa ini tidak akan membawa petanda baik memandangkan perbicaraan kes liwat Anwar masih berjalan dan kerajaan tidak mahu ia memberi isyarat yang salah kepada rakyat.

“(Tambahan pula) kerajaan Barisan Nasional (BN) kini menghadapi pilihan raya kecil di Galas (Kelantan) dan kawasan Parlimen Sabah (Batu Sapi) jadi kita tidak mahu individu atau pihak tertentu untuk menyalah tafsir bahawa Amerika Syarikat atau Setiausaha Clinton membantu orang ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar bersama dengan Clinton di Putrajaya hari ini.

Clinton, yang tiba malam tadi, adalah dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia. Sebelum itu, Anifah dan Clinton mengadakan mesyuarat dua hala berhubung isu antarabangsa dan serantau untuk kepentingan bersama.

Clinton, ketika ditanya sama ada beliau akan bertemu Anwar lewat hari ini berkata: “Saya tidak dapat berjumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) hari ini kerana beliau sakit dan ia memberi kesan kepada jadual saya di Kuala Lumpur.”

“Para pegawai dari Amerika Syarikat dan Jabatan Negara sentiasa berhubung dengan Anwar, kami akan terus berhubung dengannya dan kami memantau kesnya dan seperti apa yang disebut Menteri Luar mengenai perbicaraan yang terbuka dan bebas, itu yang sebenarnya kami jangkakan,” katanya.

Beliau berkata perkara mengenai pendakwaan Anwar, yang didakwa sebagai bermotifkan politik oleh sesetengah pihak, juga dibincangkan dalam mesyuarat.

“Sudah diketahui umum bahawa Amerika Syarikat percaya adalah penting bagi semua aspek kes ini untuk dikendalikan dengan adil dan telus dan sebaliknya yang meningkatkan keyakinan dalam kedaulatan undang-undang di Malaysia.

“Kedutaan kami mengekalkan hubungan baik dengan parti pemerintah dan pembangkang memandangkan disiplin penting dalam proses demokrasi di Malaysia dan kami akan terus menyokong pembangunan pesat Malaysia dalam mengukuhkan institusi demokrasi dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Anifah juga mengulangi bahawa beliau akan memastikan Anwar mendapat perbicaraan yang adil kerana jika wujud “pendakwaan berunsur politik’’ ia boleh berlaku kepada sesiapapun. TMI

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin