03 November 2010

Amaran PAS Kepada Pengundi Hantu, Jauhi Peti Undi



Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman memberi amaran kepada pengundi hantu Barisan Nasional (BN) menjauhi peti undi sekiranya tidak mahu ditangkap ketika pilihan raya kecil DUN Galas berlangsung esok.

Beliau berkata, PAS akan menempatkan 29 orang peguam bersama Unit Tindakan Khas (UTK) Keselamatan PAS di 13 peti undi seluruh daerah itu memantau pergerakan pengundi hantu.

Abdul Halim berkata pada sidang media pagi tadi, PAS mempunyai senarai nama 2000 orang pengundi tidak berdaftar yang dijangka hadir ke pusat pengundian.

Beliau optimis dapat menangkap individu-individu ini sekiranya mendapati ada cubaan untuk membuang undi.

"Kita dapat maklumat yang agak lebih terperinci bahawa pengundi hantu ini berasal luar daripada Kelantan. Kita dapat kesan dari Johor ada 100 yang telah sampai di sini dan kita kenal pasti dan akan ikut mereka," tegas beliau.

"Ini kita tahu, kita beri amaran kepada mereka ini kalau tidak mahu kena, jangan pergi mengundi."

Beliau ditemui media di Maskas Induk PAS pagi tadi menambah, tindakan ini adalah usaha membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membanteras gejala pegundi hantu yang sering kelihatan sewaktu pilihan raya.

Sementara itu, Abdul Halim yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa yakin mampu menarik pengundi Cina yang dijangka akan menyumbangkan 6 peratus untuk kerusi Dun itu.

"Pengundi Gua Musang ini lebih mengutamakan calon daripada parti. Parti jadi nombor dua. Jadi oleh kerana itu kita yakin calon kita ini mempunyai potensi besar menarik orang atas pagar untuk menarik golongan-golongan ini terutama orang Cina untuk menyokong kita," jelas beliau lagi.

Sehingga pagi tadi beliau menjangkakan keyakinan PAS untuk memenangi kerusi DUN Galas meningkat kepada 55 peratus namun bergantung sejauh mana serangan BN sehingga malam nanti.

Tambah beliau lagi, PAS akan menempatkan ejen-ejen parti untuk memujuk pengundi di kawasan tumpuan pengundi atas pagar yang puratanya 34 peratus dan rata-rata berbangsa Melayu.

Menurut maklumat yang diterima oleh Jawatankuasa Pilihan raya Kecil PAS, beliau berkata sejumlah 50 peratus pengundi telah pulang ke Gua Musang untuk menunaikan tanggungjawab di DUN Galas.

Esok Galas akan menghadapi pilihan raya Kecil DUN itu yang akan bermula seawal 9 pagi. Dijangkakan seramai 9141 orang akan keluar membuang undi. -TVSNEWS

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese