25 November 2010

Pakatan Rakyat bahagi kerusi selepas konvensyen



Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, proses persiapan pilihan raya Pakatan Rakyat bermula dengan perhimpunan penyokong parti di Pulau Pinang, 18 Disember depan dan disambung dengan Konvensyen Pakatan Rakyat pada keesokan harinya.

"Pada peringkat ini, kita mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan selepas itu membawa kepada pembahagian kerusi di kalangan komponen Pakatan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang parlimen.

Ia juga, katanya sebagai menunjukkan kekuatan Pakatan Rakyat walaupun diasak dengan pelbagai dakwaan melalui media massa.

"Kami juga telah memutuskan untuk membuat persiapan pilihan raya di Sarawak, contohnya telah ada jawatankuasa yang telah ditubuh yang akan melangsungkan keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

"Segala program yang sedang kami rancang adalah satu manifestasi kepada pengukuhan Pakatan Rakyat itu sendiri sebagai alternatif kepada rakyat," katanya yang juga ahli Parlimen Bachok.

Selain itu, mesyuarat itu turut memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan pengundi awam menjadi pengundi pos.

"Ada maklumat tambahan mengenai pemindahan nama orang awam menjadi pengundi pos dan cara pendaftaran yang masih belum diperbaiki.

"Kita akan selaraskan mesyuarat di antara jawatankuasa pilihan raya Pakatan Rakyat dengan pihak Bersih supaya maklumat ini dapat mereka teliti.

Sementara itu, Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen kali kedua Disember depan bagi membincangkan beberapa isu penting termasuk soal tanah, Felcra dan Felda.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ianya akan diakan pada 19 Disember di Dewan Milennium Seberang Perai, setelah mendapat persetujuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Antara isu pokok yang akan dibahaskan ialah isu tanah termasuk Felda, Felcra dan tanah adat, soal air, tol, pelaburan,masalah pekerja, wanita Sabah dan Sarawak.

"Kita juga putuskan pimpinan Pakatan Rakyat mulai Disember ini akan melancarkan majlis penerangan di beberapa buah negeri sebagai permulaan," kata beliau selepas mempengerusikan Majlis Pakatan Rakyat.

Anwar juga memberitahu, menteri-menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat akan bersidang di Shah Alam Isnin ini juga bagi membincangkan beberapa perkara khususnya mengenai ekonomi negeri.

"Persidangan menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat akan diadakan pada 29 November di Shah Alam dan di antara isu yang akan dibangkitkan termasuk soal menjana koridor dan kekuatan ekonomi, infranstruktur pelaburan, megimbangi kepentingan antara kaum dan dasar pertanian, federalisme dan perhubungan kerajaan pusat dengan negeri, pembangunan masyarakat dan komunikasi massa," katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Agung PAS dan PKR, Datuk Mustafa Ali dan Saifuddin Nasution Ismail serta beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. ~harakah~

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin