10 October 2010

Tengku Razaleigh: Perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang UMNO perlu diadabkan.



- Petikan ucapan Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Kelantan, Semasa Merasmikan Persidangan Perwakilan Khas UMNO Bahagian Gua Musang, Bertempat Di Balai Rakyat, Bukit Cekati, Gua Musang Pada Hari Jumaat 4hb April, 2008, bersamaan 27hb Rabiulawal, 1429 Jam 10.00 pagi

24. UMNO mesti mengubah atau kalau perlu membersihkan ketiga-tiga imej yang buruk itu. UMNO mesti dipercayai bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, kita lihat ada orang dari kaum India dan kaum Cina, misalnya, mengibarkan dan menjunjung bendera PAS, dan mereka mengundi calon PAS di kawasan kuat UMNO. Mengapa? Apakah kerana mereka sudah dipukau atau di-Islamkan oleh orang PAS? Tidak. Mereka berbuat demikian kerana mereka percaya bahawa PAS, berdasarkan prinsip Islam, lebih adil daripada UMNO terhadap kaum bukan Islam. Mereka berkata orang PAS takut kepada Tuhan; jadi mereka takut hendak bercakap bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama. Mereka berkata, Tok Guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih dan amanah daripada kebanyakan pemimpin UMNO Kelantan.

25. Inilah cabaran yang dihadapi oleh UMNO hari ini. UMNO terpaksa menjadi parti yang boleh dipercayai oleh semua kaum. UMNO terpaksa menyaingi parti baru seperti PKR yang dilihat oleh semua kaum – termasuk orang Melayu generasi baru – sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.

Ketiga: perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang UMNO perlu diadabkan

26. Kita perhatikan dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-12, kelakuan beberapa calon UMNO tidak beradab. Mereka sombong, bercakap besar, riak, dan suka menabik dada. Seorang calon Parlimen UMNO memberitahu media bahawa matlamat dia ialah untuk memastikan lawannya hilang deposit. Calon ini mengalami kekalahan teruk, diajar oleh pengundi Melayu. Di Kelantan kita dengar bagaimana seorang calon Parlimen yang dekat dengan kuasa atasan di K.L memaki hamun dan menggunakan kata-kata biadab terhadap PAS, khususnya terhadap Datuk Nik Aziz, MB Kelantan. Bahkan seluruh jentera UMNO digerakkan untuk melancarkan semacam ‘perang salib’ terhadap PAS, gayanya seperti perang yang dilakukan oleh Bush terhadap negara Islam.

27. Saya faham, PAS ialah parti lawan UMNO tetapi bukan itulah caranya orang Melayu-Islam cuba mengalahkan pihak lawan sesama bangsa dan sesama agama. Kita adalah bangsa yang berbudaya, beragama Islam, beradab. Orang Melayu – bahkan orang bukan Melayu dan bukan Islam pun – meluat dan menyampah dengan fiil dan kelakuan sombong bongkak itu. Kita tidak diajarkan cara bagaimana hendak memikat hati pihak lawan. Kita seolah-olah menggunakan budaya dan taktik samseng. Akhirnya, kita kalah – kalah lebih teruk daripada dalam tahun 2004, bukan kerana dasar UMNO tidak baik tetapi kerana orang UMNO itu yang tidak baik, dan merekalah yang merosakkan imej parti. (Sumber)

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese