06 September 2010

Polis belum dapat apa-apa petunjuk kes Sosilawati hilang



Senarai panggilan telefon terakhir pengasas produk kosmetik Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dipercayai dapat membuka laluan penyiasatan berhubung kehilangan mereka sejak 30 Ogos lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata pihaknya sedang menunggu data tersebut dan yakin butiran lanjut mengenai kejadian itu akan terungkai sebaik sahaja perincian penggunaan telefon oleh keempat-empat mereka diteliti.

“Kita perlu siasat kesemua anggota keluarga yang terlibat. Setakat ini kita belum dapat apa-apa petunjuk lagi.

“Antara yang kita siasat adalah panggilan telefon (panggilan terima dan panggilan keluar) kesemua mangsa untuk siasatan lanjut,” katanya pada siding media sempena persaraan beliau yang akan berkuat kuasa 12 September ini, di sini hari ini.

Musa berkata setakat ini hanya satu laporan saja diterima polis berhubung kehilangan keempat-empat individu tersebut, iaitu pada Khamis lepas daripada keluarga Sosilawati.

Sosilawati, 47, dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya setelah dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak, sejak seminggu lepas.

Beliau dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun gagal berbuat demikian sehingga hari ini.

Ahli perniagaan itu dilaporkan hilang bersama pemandu, peguam peribadi dan seorang pegawai bank sejak 30 Ogos lepas dan difahamkan Sosilawati membawa wang jutaan ringgit.

Polis kini menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kes kehilangan jutawan itu yang juga merupakan bekas isteri kepada penyanyi, Nash.

Musa berkata pihaknya juga belum mendapat maklumbalas daripada Jabatan Imigresen sama ada mereka telah ke luar negara atau tidak.

Mengulas perkembangan lain, Musa berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah diarahkan untuk menyiasat wujudnya sebuah akaun menggunakan nama beliau dalam laman sosial Facebook.

“Saya memang tiada Facebook. Saya dapat tahu ada orang menyamar jadi saya dua bulan lepas dan saya telah arahkan JSJK untuk siasat,” katanya.

Mengenai perkembangan kes Michael Soosai, 47, beliau berkata polis perlu menunggu suspek selesai menjalani perbicaraan di India dan menjalani hukuman sebelum dia boleh dibawa balik ke Malaysia.

“Ini kerana kes bunuh yang dihadapinya (di India) mungkin boleh dihukum penjara. Kita tidak tahu lagi... perlu tunggu maklumat lanjut dari India,” katanya.

Soosai dilaporkan ditahan reman dua minggu lagi di negara itu bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung kegiatan jenayahnya termasuk kes bunuh pada 2004 di India. – Bernama

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese