Kertas siasatan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain akan dibincangkan dengan Peguam Negara dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin berkata, polis kini dalam proses menyiapkan siasatan berdasarkan arahan terbaru Jabatan Peguam Negara untuk memantapkan kertas siasatan kes berkenaan.
“Kami akan berbincang dengan pihak Peguam Negara sekiranya ada perkara lain yang perlu disiasat lagi bagi memastikan kertas siasatan berkenaan benar-benar lengkap sepenuhnya,” katanya semalam.
Sambil menyifatkan perkembangan siasatan kes berkenaan sebagai ‘positif’, Mohd Bakri menjelaskan beberapa lokasi baru di sekitar Banting turut diperiksa kerana dipercayai menjadi lokasi suspek membuang mayat mangsa lain.
Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan lokasi baru berkenaan dan meminta media memberi ruang dan masa kepada polis menjalankan siasatan menyeluruh.
Katanya, polis masih menunggu keputusan ujian DNA yang akan disertakan dalam kertas siasatan berkenaan sebelum diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
“Keputusan lengkap ujian DNA diketahui sebaik semua spesimen dan bukti di lokasi kejadian dianalisis makmal forensik,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Kontinjen, di sini, semalam.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah - metro
No comments:
Post a Comment