09 July 2010
PAS Terengganu Yakin Memerintah Selepas PRU13
PAS negeri Terengganu akan memperkasakan ahli dan para petugasnya
dengan latihan melalui sebuah institusi yang dikenali dengan nama Akademi Latihan Kepimpinan dan Petugas Pilihanraya atau singkatannya, ALIM.
Pengarahnya, Haji Hanafiah Mat berkata suatu kursus untuk semua tenaga-tenaga kerja parti, petugas-petugas di semua peringkat, daripada peringkat atasan, pertengahan hinggalah ke peringkat akar umbi akan mula dianjurkan pada 24 Julai depan.
"Kalau kita tengok dalam mana-mana organisasi, tenaga kerja dan sumber manusia yang merupakan suatu benda yang penting, la (adalah) untuk memastikan sesuatu kejayaan itu menjadi suatu kejayaan (realiti).
"Jadi berasaskan kepada sistem pengurusan yang strategik maka kami di peringkat negeri Terengganu akan mengadakan suatu kursus untuk semua tenaga-tenaga kerja parti,"katanya dalam satu sidang media yang diadakan disini petang semalam.
Menurutnya, latihan tersebut merupakan persiapan terakhir PAS bagi menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 akan datang.
Katanya, model ALIM adalah berdasarkan Akademi Latihan Kepimpinan (AKEP) yang telah dilaksanakan dengan berkesan menjelang pilihanraya umum ke-12 lalu.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu berkata, AKEP telah berjaya meningkatkan penguasaan PAS seratus peratus dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
"Kalau dalam pilihanraya yang ke-12 dahulu kami mengadakan kursus kepimpinan yang kami kenali sebagai AKEP, di mana kami berjaya menambahkan 4 kerusi, daripada 4, kita tambah jadi 8,"ujarnya.
Oleh itu, katanya, dengan pelancaran ALIM kali ini, PAS Terengganu yakin dapat melonjakkan kemenangan daripada 8 kerusi DUN kepada 16, atau 17 dan sekaligus, dapat mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Terengganu.
Menurutnya lagi, ALIM akan melahirkan pekerja-pekerja PAS yang mahir disamping mewujudkan budaya kerja organisasi yang lebih professional serta membina kesedaran kepada semua petugas.
Tenaga pakar dari pelbagai bidang, katanya, akan didatangkan dari Kuala Lumpur selain fasilitator tempatan.
"Kami mempunyai pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang telah kami ambil daripada kawan-kawan kita daripada KL, dan mereka ini sudah bersedia untuk menjadi fasilitator,"jelasnya.
Bekas calon PAS bagi DUN Chukai itu juga menerangkan, untuk kali yang pertama ALIM akan menganjurkan kursus latihan kepada 150 orang jurulatih (TOT), yang kemudiannya akan bertindak sebagai tenaga melatih jentera dibawah.
Antara Modul yang akan menjadi pengisian ALIM adalah Pengurusan Parti, Kepimpinan, Pilihanraya, Penerangan setrta Pengurusan dan Pentadbiran Kerajaan negeri.
"(Kalau) dulu, AKEP lebih kepada pilihanraya sahaja, satu modul daripada lima (dalam ALIM), tapi kali ni kita perluas, ada kepimpinan, kerajaan, penerangan dan pengurusan parti (serta Pengurusan dan Pentadbiran Kerajaan), ALIM ni kita lebih memberi tumpuan bahawa kita akan memerintah pada pilihanraya ke-13,"katanya lagi.
Justeru, katanya, ALIM akan memastikan semua ahli dan petugas PAS yang kini sebagai sebuah 'kerajaan menunggu' sudah bersiap sedia untuk mengambil alih pemerintahan negeri Terengganu. BO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment