22 July 2010

Najib, Razak Mungkin Dipanggil Perancis Beri Keterangan


Jawapan Bala diserahkan kepada SPRM

Americk Sidhu, peguam kepada bekas penyiasat persendirian, P Balasubramaniam tidak menolak kemungkinan mana-mana individu, termasuk tokoh politik dari Malaysia boleh dipanggil oleh pihak pendakwaraya Perancis bagi membantu siasatan berhubung skandal rasuah yang membabitkan urus niaga pembelian dua kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.

Beliau menegaskan ini termasuk penasihat politik Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda malah Datuk Seri Najib Razak sendiri.

"Ada kemungkinan, tetapi itu terpulang kepada pihak terbabit di Malaysia untuk memilih sama ada ingin pergi atau tidak, mahu bekerjasa atau sebaliknya. Tetapi bagi Balasubramaniam, beliau bersedia untuk tampil dan bekerjasama bagi membantu proses siasatan tersebut. Pihak pendakwa di Perancis tidak boleh memaksa untuk membantu siasatan," kata Americk kepada Suara Keadilan.

Walau bagaimanapun imej Malaysia akan buruk dan tercalar pada mata masyarakat dunia, sekiranya kerajaan Malaysia menolak permintaan Perancis untuk bekerjasama membantu menyelesaikan kes tersebut yang kini telah menjadi isu antarabangsa yang besar.

Ketika ditanya mengenai sikap yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang pada mulanya menunjukkan kesungguhan untuk menemuramah Bala di London tetapi kemudiannya pada saat ahkir membatalkan sesi tersebut, Americk berkata beliau kecewa atas kegagalan SPRM untuk mengotakan janji mereka.

"Kita telah mengambil masa yang agak lama untuk menyusun pertemuan tersebut. Kerana ini adalah peluang kepada SPRM untuk melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap laporan yang dibuat oleh Bala," kata Americk.

Beliau memaklumkan SPRM kemudiannya menghantar kira-kira 50 soalan melalui perkhidmatan penghantaran 'courier' yang telah pun dijawab oleh Bala dalam bentuk affidavit.

Dokumen jawapan tersebut yang ditandatangani oleh Balasubramaniam telah di bawa ke Kuala Lumpur oleh peguamnya, Manjeet Singh Dhillon dan diserahkan kepada SPRM di Putrajaya petang ini.

Berhubung keterangan Bala yang diberikan kepada pihak pendakwaraya Perancis di Paris 12 Julai lalu, Americk berkata Bala ditemani oleh Manjeet.

"Beliau telah menjawab semua soalan oleh pegawai penyiasat di sana dan Bala juga turut mendedahkan kepada media Perancis.

Americk menjelaskan liputan berita berkenaan kes penyiasatan skandal Scorpene tidak mendapat liputan luas media di negara ini tetapi menjadi perhatian ramai di luar negara dengan penerbitan beberapa artikel dan penulisan analisis.

Beliau berkata media arus perdana di negara ini yang dikawal oleh kerajaan tidak akan menyebut langsung tentang perkara tersebut.

"Memang ramai yang ingin tahu tentang perjalanan kes ini, tentang isu pembunuhan (Altantuya) dan pembelian kapal selam. Apa yang kita harapkan ialah portal dan blog-blog yang bebas seperti Malaysia Today untuk kemukakan kepada rakyat, dan menceritakan apa yang sebenarnya berlaku kepada Balasubramaniam, selain dari isu-isu berkaitan," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Americk tidak menolak kemungkinan bahawa kejadian kehilangan komputer riba milik Manjeet di rumahnya Isnin lalu ada kaitan dengan kes yang sedang berjalan di mahkamah Perancis.

Baginya adalah tidak logik bagi pencuri yang memasuki rumah, dan hanya untuk mengambil komputer tersebut, sedangkan terdapat banyak lagi barang berharga lain termasuk barang kemas di dalam rumah tersebut.

"Manjeet berpendapat bahawa orang itu (pencuri) memang hendak cari komputer riba sahaja. Ini merupakan kejadian kedua (pecah rumah) selepas kita membuat rakaman audio-visual di Singapura. Sebelum itu, rumah Manjeet turut dibaling dengan molotov cocktail (bom api). Jadi ada perasaan takut untuk dia (Manjeet) membawa pulang keluarganya ke Malaysia," kata Americk. SK

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin