09 July 2010
Bersih serah memo kepada SPR
Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini tetap menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) meskipun gagal bertemu dengan pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Menurut Setiausaha Bersih, Faisal Mustaffa, memorandum mengandungi lima tuntutan itu hanya diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said setelah permintaan untuk mengadakan pertemuan dan dialog dengan Abdul Aziz tidak diterima.
"Tidak ada pertemuan pun di antara kami dengan Pengerusi SPR. Alasan yang diberikan, beliau ada urusan lain dan tidak ada sebab yang menggesa beliau untuk bertemu kami. Tetapi kami telah pun menyerahkan memorandum kepada pegawainya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Bersih bagaimanapun katanya, akan terus untuk memohon untuk mengadakan sesi dialog dengan SPR untuk berbincang mengenai tuntutan-tuntutan yang masih belum mendapat perhatian pihak SPR.
"Kita memang memerlukan satu pertemuan dengan pihak SPR bagi mereka menjawab segala tuntutan Bersih dan selepas ini kita akan memohon lagi untuk bertemu SPR," katanya.
Mengulas lanjut mengenai memorandum yang diserahkan itu, Faisal memberitahu, perkara utama yang ditekankan adalah mengenai persempadanan semula pilihan raya yang masih tidak diketahui umum.
Sehubungan itu, Bersih katanya, memerlukan penjelasan daripada SPR kerana melihat pesempadanan semula yang dilakukan sebelum ini tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul.
"Yang paling penting ialah mengenai persempadanan semula pilihan raya, yang banyak tidak diketahui secara umum. Kita juga berkerjasama dengan Merdeka Center mengadakan 'pilot study' berkenaan pesepadanan itu, dan ingin dapatkan penjelasan daripada SPR yang mana persempadanan SPR tidak dilakukan mengikut lunas-lunas yang betul. Kita juga ada proposal bagaimana sepatutnya persempadan ini harus dilakukan," katanya.
Selain itu, Bersih meneruskan empat tuntutan sebelum ini yang belum dilaksanakan iaitu penggunan dakwat kekal, akses kepada media secara adil, penghapusan undi pos dan pembersihan daftar pemilih.
"Ia juga termasuk demokrasi pelbagai parti dan juga pentadbiran pilihan raya itu sendiri," katanya.
Bersih juga mengambil serius mengenai kekangan yang dihadapi SPR kononnya mereka tidak ada kuasa untuk melakukan reformasi dalam proses pilihan raya.
"Isu yang penting kekangan atau alasan yang diberi SPR ialah undang-undang tidak membenarkan mereka untuk melaksanakan reformasi begini. Tapi kita sudah jelaskan dalam memorandum bahawa SPR mengikut perlembagaan mempunyai kuasa untuk mengusulkan pindaan kepada akta berhubung pilihan raya," jelasnya.
Turut hadir di pejabat SPR tadi ialah Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan, ahli-ahli jawatankuasa induknya, Maria Chin Abdullah dan Wong Chin Huat. - Hrkh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment