23 June 2010

Presiden PAS Pengganas? Kerajaan Perlu Beri Penjelasan

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu pihak Kerajaan BN dan Polis Diraja Malaysia memberikan penjelasan terhadap laporan Malaysiakini yang mengatakan Presiden PAS didakwa sebagai pengganas dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung Jamah Islamiah (JI) di Bukit Aman Isnin lalu. PAS memandang serius dakwaan ini.

Menurut Malaysiakini, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin membuat dakwaan bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama bekas mufti negeri itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis sekarang Dr Juanda Jaya dan mantan menteri besar negeri itu Datuk Seri Shahidan Kassim adalah pengganas dalam taklimatnya.

PAS mencurigai kredibiliti Zamihan yang mendakwa penglibatan Presiden PAS dalam gerakan wahabi yang turut dikaitkan dengan Jamaah Islamiah yang dirangkumkan bagi membentuk persepsi bahawa beliau adalah Pengganas.

PAS melihat bahawa fitnah ini sengaja dicipta bagi memberikan imej buruk kepada beliau dan PAS. Perkara ini bukan kali pertama. Tahun lepas Mossad memfitnah presiden PAS sebagai pengganas selepas Menteri Pertahanan Israel membuat rundingan sulit dengan Zahid Hamidi.

Pada tahun 2007 Presiden PAS memenangi samannya ke atas akhbar ternama Britain, Daily Mirror. Akhbar ini telah bersetuju meminta maaf kepada Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi di Royal Court of Justice, ekoran penyiaran gambar dan berita berunsur fitnah yang mengaitkan beliau dengan pergerakan al-Qaeda. Gambar Presiden PAS muncul di akhbar tersebut dengan tajuk “AL-QAEDA – Abdul Hadi” dan dinyatakan bahawa beliau adalah pemimpin nombor tiga al-Qaeda dan sedang ditahan di Guantanamo Bay.

PAS tidak dapat menerima fitnah ketiga yang sengaja dicipta ini selepas kegagalan dua siri fitnah yang cuba mengugat PAS sebelum ini. PAS yakin sedikit sebanyak pengaruh nasihat APCO membawa kecenderungan kerajaan bagi mencipta krisis pengganas untuk dikaitkan dengan Presiden PAS dan parti ini.

Pas yakin fitnah ini juga sebagai serampang dua mata untuk menakutkan orang bukan Islam yang semakin jinak dengan Pas. Ketika sokongan orang bukan Islam telah yakin dengan wadah perjuangan Pas melalui Dewan Himpunan Penyokong Pas, maka musuh Pas cuba menggambarkan Presiden Pas sebagai pengganas. Pas yakin orang bukan Islam tidak akan terpedaya dengan fitnah ini. Mereka sudah lihat dengan mata kepala mereka sendiri pemimpin Pas bukan sebagaimana yang digambarkan sebagai seorang pengganas.

Umno juga dilihat cuba mengajak Dr. Asri bersama Umno, dan tidak mustahil kewujudan tuduhan ini akan dijadikan peluang oleh Umno untuk mengamit beliau bersama parti itu bagi mengelakan ancaman ISA. Ini adalah tidak profesional dan memalukan.

PAS menuntut agar Zamihan, PDRM dan Kerajaan meminta maaf kepada Presiden PAS dan mereka yang terlibat. Pihak Polis perlulah melengkapkan siasatan mereka sebelum tuduhan sebegini dijadikan bahan taklimat atau membuat sebarang pendakwaan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti mereka yang terbabit.

PAS tidak mahu imej Polis terus tercemar kerana cara kerja yang tidak profesional. Orang yang tidak bersalah ditangkap sedangkan orang yang bersalah membunuh Nurin Jazlin, Norita dan sebagainya masih belum ditangkap hingga ke hari ini.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

2 comments:

layar said...

Salam...ana petik dari stu blog...jangan jadi seperti lalang

NIAT JAHAT! Itu kesimpulan yang dapat diberikan apabila membaca artikel jahat Malaysiakini 22 Jun 2010 tulisan Abdul Rahman Sabri, Jimadie Hassan dan Regina Lee bertajuk Ulama sertai Umno demi perlindungan politik? (sini).

Membaca tajuk artikel jahat berkenaan sudah cukup untuk menunjukkan Malaysiakini cuba untuk meningkatkan kebencian di kalangan penyokong Pakatan Haram terhadap UMNO, Dr. Mohd Asri dan 100 ilmuan berkelulusan agama yang dijangkakan akan menyertai UMNO Jumaat ini (25 Jun 2010). Tajuk artikel jahat itu juga menggambarkan seolah-olah Dr. Asri dan rakan-rakannya akan dilindungi dari suatu tindakan yang akan diambil ke atas mereka setelah menyertai UMNO.

Penulis melihat ia sebagai usaha terdesak untuk melaga-lagakan Kerajaan Persekutuan dengan kedua-dua tokoh agama berkenaan sehingga akhirnya akan menyebabkan Dr. Mohd Asri tawar hati untuk menyertai UMNO. Licik sungguh Malaysiakini memainkan peranan Pakatan Haram di sini.

Walaupun tajuk berkenaan diletakkan tanda soal di belakangnya, provokasi Malaysiakini ini telah berjaya mencapai matlamat apabila Dr. Mohd Asri dan Dr. Juanda (Mufti Perlis) mengeluarkan kenyataan bersama bertajuk Mengapa Kerajaan BN Berbohong? (sini) hari ini untuk menafikan apa yang terkandung di dalam artikel jahat Malaysiakini itu.

Adalah sesuatu yang malang apabila kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kedua mereka hanya bersandarkan kepada artikel jahat Malaysiakini yang yang telah penulis nyatakan. Ini kerana di dalam kenyataan bersama itu, ayat yang mereka gunakan di awal-awal kenyataan pada Para 2 ialah seperti berikut:

“2. Buktinya, laporan Malaysiakini pada 22hb Jun 2010, yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI (Jamaah Islamiah) di Bukit Aman pada 21 Jun, …..”

Jika dilihat kepada artikel jahat Malaysiakini itu, wartawan-wartawan berkenaan hanya menggunakan perkataan-perkataan berikut secara berulang kali:

“difahamkan”, “Malaysiakini difahamkan”, “menurut sumber-sumber”, “difahamkan juga”, “menurut sumber”

Ini bermakna, berita yang diterima wartawan Malaysiakini itu hanyalah hear say, dengar cakap orang. Ia bukan sumber yang berwibawa, bukan dari telinga mereka sendiri. Berkemungkinan berita yang disampaikan itu telah ditokok-tambah terlebih dahulu sebelum ia ditokok-tambah pula oleh mereka.

Lanjutan dari itu, persoalan yang wujud ialah siapakah orang yang telah “memahamkan” wartawan-wartawan Malaysiakini itu?

Jika dilihat di dalam artikel jahat itu, ada dinyatakan bahawa sumber yang memberikan maklumat kepada mereka ialah “sumber yang hadir dalam program penerangan tersebut”. Soalnya ialah, siapa?

Adakah sumber berkenaan ialah orang yang menjaga sistem audio visual di dalam program itu? Atau mungkin caterer yang menyediakan kudapan untuk mereka yang hadir? Atau mungkin pemandu yang bertugas untuk membawa salah seorang dari ahli program? Ataupun yang sebenarnya mungkinkah sumber berkenaan langsung tidak wujud? Ia hanya diada-adakan?

Siapa sebenarnya sumber berkenaan perlu dinyatakan dengan jelas jika ia satu kebenaran. Apa yang Malaysiakini takutkan jika mereka benar?

Bagi menggambarkan kejayaan mereka melaga-lagakan Dr. Mohd Asri dengan Kerajaan Persekutuan, Malaysiakini melalui Jimadie Hassan dengan bangganya tidak mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan artikel yang mengulas kenyataan bersama Dr. Mohd Asri dan Dr. Juanda (sini). Sedihnya, ketika penulis baru hendak menyelesaikan artikel ini, Shahidan Kassim pula termakan umpan jahat dari artikel jahat berkenaan (sini). Perangkap Malaysiakini sudah mengena. Licik, memang licik.

Penulis amat berharap agar pihak yang berkenaan tampil untuk memberikan kenyataan balas. Sekiranya ia tidak dilakukan maka orang ramai akan menaggapnya sebagai sesuatu yang benar. Jangan biarkan niat busuk mereka untuk menghalang kemasukan Dr. Mohd Asri dan 100 ilmuan berkelulusan agama ke dalam UMNO menjadi kenyataan.

Aseli banyumas said...

1.kita tunggu komen peserta taklimat dan yang bagi taklimat
...
2.episode ura ura drmaza jadi ketua yadim beberapa bulan lepas kembali lagi..

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin