17 May 2010

Sayap baru Pas tarik lebih ramai ahli bukan Islam- Salahuddin



Pas akan melancarkan sayap barunya –Dewan Himpunan Penyokong Pas — Ahad ini yang dijangka akan disertai lebih 20,000 penyokong dari kalangan masyarakat bukan Islam.

Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub berkata sayap baru itu ditubuhkan berikutan terdapat ramai penyokong bukan Islam terdiri daripada kaum Tionghua, Siam, Orang Asli, Bumiputera dan lain-lain.

“Penyokong bukan Islam yang kini semakin ramai menyebabkan pihak pimpinan memutuskan untuk menubuhkan gagasan yang lebih besar,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ditanya sama ada anggota dewan itu akan dicalon pada pilihan raya, Salehuddin berkata:”Tidak ada masalah kaum bukan Islam bertanding atas tiket Pas malah sudah ada calon bukan Islam yang bertanding atas tiket Pas sebelum ini”.

Majlis perasmian Dewan Himpunan Penyokong Pas itu akan diadakan di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 8.30 pagi Ahad ini.

Menyentuh mengenai kemenangan calon DAP Wong Ho Leng pada pilihan raya kecil Sibu semalam, Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar, yang hadir pada sidang akhbar itu berkata rakyat sekarang sudah lebih terbuka mengenai idea negara Islam. – BERNAMA

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin