06 April 2010
Usul Membahaskan Royalti Ditolak Sidang DUN Terengganu
Mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini menolak usul penarikan royalti minyak yang dibawa oleh wakil pembangkang untuk dibincangkan dalam persidangan dewan.
Yang Dipertua DUN Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata walaupun isu berkenaan mustahak dan berkepentingan khusus namun ia tidak mustahak untuk dibincangkan dengan segera.
“Setelah meneliti secara menyeluruh dan khusus saya dapati isu yang dibangkitkan mengenai hal ini tidak perlu dibahaskan, pertamanya kerana perundingan mengenai royalti minyak antara kerajaan negeri dan pusat masih berjalan.
“Hak kerajaan negeri juga tidak dinafikan langsung seperti yang dibentangkan dalam usul tadi, dan selain itu juga isu ini masih lagi kes mahkamah dan tuntutan masih dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap kerajaan pusat, masih lagi belum ditarik balik dan masih berjalan.
“Perundingan sama ada di peringkat kepimpinan atau pegawai antara kerajaan negeri dan pusat juga sentiasa terbuka dan tidak ada penyisihan sebagaimana usul yang dibacakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menolak usul yang dibentangkan oleh Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) yang mengemukakan usul di bawah peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN Terengganu.
Sebelum itu, Dr Syed Azman bangkit memohon mencadangkan bahawa persidangan itu hendaklah ditangguhkan mengikut fasa berkenaan bagi membolehkan dewan merundingkan isu penarikan balik royalti minyak yang berpanjangan hampir 10 tahun.
Katanya penarikan royalti minyak oleh kerajaan pusat daripada kerajaan Terengganu itu merupakan satu pencabulan kepada prinsip demokrasi, konsep federalisma serta melanggar perlembagaan negara ini. — Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment