20 April 2010

SPR: Kami tak pindah pengundi, angka 13,000 tak masuk akal



HULU SELANGOR, 19 April — Sambil menyifatkan perubahan pusat mengundi melibatkan lebih 13,000 pengundi didakwa PKR sebagai tidak masuk akal, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan pihaknya sengaja memindahkan lokasi pengundian pengundi-pengundi berkenaan.

“Tidak mungkin berlaku. Kalau berlaku pun angka 13,000 adalah sesuatu yang tidak masuk akal,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Wan Ahmad mempertahankan bahawa jika pun perubahan itu berlaku ia semestinya melibatkan proses permohonan oleh pengundi-pengundi terbabit.

“SPR ataupun pegawai suruhanjaya dengan sengaja tidak boleh mengubah tempat mengundi seseorang pengundi. Ia mesti berdasarkan permohonan daripada pengundi sendiri, di mana pengundi sendiri kena muncul (hadir di kaunter) untuk membuat permohonan perubahan tempat mengundi,” kata beliau lagi.

“Seratus peratus SPR tidak terlibat, pegawai SPR pun tidak boleh sesuka hati memindahkan seseorang,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta PKR membuktikan dakwaan bahawa lebih 13,000 pengundi telah ditukarkan tempat mengundi sepanjang dua tahun lalu.

“Tunjukkan bukti kepada kami, SPR boleh ambil tindakan,” kata beliau sambil menambah, memandangkan pertukaran tempat mengundi hanya boleh dibuat menerusi borang permohonan, pihaknya masih menyimpan borang kes-kes terbabit jika benar-benar wujud dan ia boleh diperiksa bila-bila masa.

Wan Ahmad juga mempersoalkan mengapa sekarang perkara itu dibangkitkan sedangkan antara 2008 dan 2010, SPR sudah lapan kali menjalankan proses mengemaskinikan daftar pemilih.

“Mengapa tidak dibangkitkan sepanjang lapan kali proses daftar pemilih dikemaskinikan, dibersihkan.

“Kenapa bila ada pilihan raya kecil baru selalu berbunyi. Itu kelemahan parti-parti politik,” katanya.

“Jadi, SPR kita yakin seratus peratus pengundi yang hendak berpindah dari lokasi A ke lokasi B adalah berasaskan permohonan... tidak mungkin ia sengaja dipindahkan atau dibuat oleh pegawai-pegawai SPR,” katanya.

Oleh itu kata beliau, SPR akan mengambil tindakan sesuai termasuk ke atas pegawai-pegawai terbabit dan mengembalikan pengundi berkenaan ke tempat asal jika terbukti mereka sengaja dipindahkan.

Bagaimanapun menurut beliau, tindakan mengembalikan pengundi terbabit ke tempat asal sebelum 25 April ini tidak mungkin sebab proses pendaftaran pemilih suku kedua tahun 2010 masih berjalan.

Semalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa SPR sengaja memindahkan 13,488 pengundi ke pusat-pusat pengundian baru berbanding lokasi mereka pernah mengundi dua tahun lalu.

Sehubungan komponen Pakatan Rakyat itu meminta penjelasan SPR berhubung perubahan lokasi mengundi itu melibatkan sejumlah pengundi yang begitu ramai.

Kerusi itu dimenangi calon PKR dengan kelebihan 198 undi pada 8 Mac 2008.

Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berkata langkah SPR itu akan mencetuskan kekeliruan di kalangan pengundi apabila keluar mengundi Ahad ini.

“Saya sentiasa percaya bahawa SPR sebenarnya menjadi alat bagi Barisan Nasional (BN), digunakan untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat,” katanya.

“Ini dengan jelas menunjukkan pengguaan strategi sedemikian. Bayangkan suasana kelam kabut yang mungkin timbul apabila pengundi tiba di pusat mengundi yang mereka pernah mengundi sebelum ini (pada 2008) dan mendapati nama mereka sudah dipindahkan ke tempat lain,” katanya.

PKR mendakwa pemindahan melibatkan ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri dalam bahagian Parlimen Hulu Selangor.

Di DUN Hulu Bernam, ia melibatkan pengundi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Bernama ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Hulu Bernam (35 pengundi), dari Sungai Selisik ke SK Gesir Tengah (331), dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalumpang ke SRA Kalumpang (235) dan SRA Hulu Bernam ke SK Hulu Bernam (Ladang Ascot) melibatkan 1,085 pengundi.

Dalam DUN Kuala Kubu Baru pula, pemindahan melibatkan dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Kuala Kubu Baru ke SMK Dato’ Haji Kamaruddin (2,824) dan SRA Kuala Kubu Baru ke SMK Kuala Kubu Baru Jalan Kolam Air (1,801).

Di DUN Batang Kali pula, dari SK Serendah ke SRJK Cina Serendah (751), SRJK Cina Serendah ke SRA Serendah (1,898), SRJK Cina Serendah ke SK Serendah (906) dan SMK Syed Mashor ke SK Bandar Baru Batang Kali (2,270).

Selain itu, pusat mengundi baru di SRA Taman Bunga Rakyat melibatkan pemindahan dari daerah mengundi Bukit Beruntung ke SRA Taman Bunga Raya (550i), Taman Bunga Raya ke SRA Taman Bunga Raya (302) dan kawasan sekitar melibatskan 498 pengundi.

Kawasan pilihan raya Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese