26 April 2010

LGE : BN money politics in Hulu Selangor and Sibu by-election



DAP jangka pilihan raya kecil Sibu lebih sengit

GEORGETOWN: DAP hari ini menjangkakan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu di Sarawak bulan depan lebih sengit daripada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor semalam, yang menyaksikan calon rakan gabungan parti pakatan, Parti Keadilan Rakyat (PKR), tewas kepada Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata kawasan Parlimen Sibu mengandungi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri - Nangka, Pelawan dan Bawang Assan - yang dikuasai BN.

"Kami menjangkakan pertandingan sengit di Sibu tetapi kami tidak akan mengalah dan akan terus berjuang ke arah mencapai keadilan bagi semua rakyat Malaysia," katanya kepada wartawan di sini, hari ini.

Kerusi Parlimen Sibu kosong berikutan kematian Ahli Parlimen lima penggalnya Datuk Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, pada 9 April kerana barah hati.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 8 Mei dan 16 Mei sebagai hari pengundian.

Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, mendakwa BN berjanji memperuntukkan kira-kira RM160 juta bagi projek-projek di Hulu Selangor dan beliau meramalkan jumlah serupa atau mungkin lebih besar dijanjikan bagi Sibu.

Beliau berkata calon PKR bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim memperoleh lebih undi daripada yang diperoleh oleh penyandang kerusi, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada pilihan raya umum 2008.

Zaid mendapat 23,272 undi berbanding 24,997 undi yang diperoleh pemenang kerusi itu, P. Kamalanathan daripada BN.

Dr Zainal memeperoleh 23,177 undi pada 2008. - Bernama

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin