08 March 2010

Keluar Parti ‘Buang Buruk’

KUALA TERENGGANU – Proses peralihan kerajaan sebagaimana sasaran Pakatan Rakyat (PR) tidak akan terjejas, walaupun terpaksa berhadapan dengan isu tindakan keluar parti beberapa wakil rakyat melibatkan pemimpin Parti Keadilan Rak-yat (PKR) sejak belakangan ini.
Ketua Penerangan Pas Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, mereka yang terbabit keluar parti ibarat ‘buang buruk’ yang tidak memberi sebarang kekurangan kepada pembangkang.

Menjelaskan perkara itu beliau berkata, kebiasaan pemimpin pembangkang yang keluar parti tidak disertai penyokongnya sebagaimana berlaku dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Nik Muhammad Zawawi yakin perkembangan itu tidak akan menjejaskan matlamat mereka untuk mengambil alih kerajaan.

“Inilah yang memberi kelebihan dan keistimewaan kepada kita apabila pemimpin keluar parti, penyokong tidak ikut serta. Istilah yang sesuai adalah ‘buang buruk’ kerana yang keluar parti hanya individu tertentu sahaja.

“Sebaliknya, apabila pemimpin BN keluar parti, ramai yang akan ikut serta sebagaimana berlaku terhadap Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga menjejaskan UMNO sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan terbaru Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri yang mengumumkan keluar parti kelmarin dan menjadi wakil rakyat Bebas berkuat kuasa serta-merta.

Dalam masa sama, Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim tetap dengan jangkaannya sebelum ini bahawa lebih 10 wakil rakyat akan keluar daripada parti tersebut.

Nik Muhammad Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat melihat pemimpin yang ke-luar parti tidak akan ke mana dalam bidang politik.

Sebaliknya kata beliau, pemimpin itu akan dipandang negatif kerana tidak mampu menjalankan tugas dengan baik dalam parti dan dianggap tidak tetap pendirian. BO

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin