29 January 2010

Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Anwar Dapatkan Bahan Bukti



Sebagaimana yang dijangka, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan dokumen dan bukti relevan bagi membolehkan peguam beliau menyediakan pembelaan tuntas untuk perbicaraan mantan Timbalan Perdana Menteri itu pada Selasa depan.

Anwar telah meminta salinan kenyataan penuduh Saiful Bukhari Azlan, laporan perubatan yang relevan dan salinan rakaman video di pintu masuk kondominium Jalan Setia kasih, Bukit Damansara di mana Saiful mendakwa tuduhan fitnah liwat itu berlaku pada Jun tahun 2008 .

Peguam-peguam Anwar memohon untuk diberikan akses kepada bahan bukti itu bagi membolehkan mereka menyediakan soal balas yang bernas terhadap saksi yang dikemukakan oleh pendakwaraya, demi memastikan keadilan.

Hakim Abdul Hamid Embong bagaimanapun mengumumkan bahawa panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar tidak berhak mendapatkan salinan bukti yang dipohon itu.

Keputusan itu selari dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan Anwar mendapatkan salinan bukti yang dipohon itu.

Hakim Mahkaman Tinggi Mohd Zabidin Mohd Diah telah membenarkan permohonan Anwar itu kerana berpendirian Ketua Pembangkang itu perlu diberikan ruang secukupnya untuk menyediakan pembelaan tuntas.

Namun keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bermakna Anwar telah gagal dalam semua permohonan beliau di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan pembelaan daripada tindakan-tindakan yang diambil oleh Peguam Negara Gani Patail.

Saiful membuat tuduhan itu beberapa hari selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Najib Razak dan sehari selepas beliau mengadakan pertemuan “sulit” dengan seorang pegawai polis kanan Rodwan Mohd Yusuf.

Rodwan adalah pegawai polis yang dilaporkan cuba memalsukan bukti DNA terhadap Anwar ketika perbicaraan beliau pada tahun 1999.

Tuduhan itu dibuat oleh Saiful ketika Najib sedang memimpin kempen Umno untuk menghalang Anwar daripada memenangi pilihanraya kecil Permatang Pauh dan sekali gus diangkat menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

Tuduhan fitnah itu gagal mengalihkan sokongan untuk Anwar yang menang dengan majoriti besar dan mantan Timbalan Perdana Menteri itu kini menjadi seteru politik utama Najib. TVS

2 comments:

Anonymous said...

Heh...heh... entah-entah bukti yang diminta itu tak ada. Isy...malunya kepada dunia Gagasan 1 Malaysia ni!!!

Pacifist said...

berikan hak kepada seseorang utk mempertahankan diri.hukuman tidak akan terlepas.kalau tidak di dunia.di akhirat menanti.yg penting usaha utk menegakkan panji kebenaran

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin