20 January 2010

Bakar gereja Metro: Lapan termasuk 2 beradik ditahan reman



NONELapan suspek termasuk dua beradik dan bapa saudara mereka ditahan reman seminggu untuk membantu siasatan kejadian membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati di sini awal pagi 8 Jan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Datuk Bakri Zinin berkata mereka ditahan di sekitar kawasan Polis Daerah Sentul antara malam tadi dan awal pagi ini.

Salah seorang suspek, yang berusia 21 tahun, ditahan di sebuah hospital di ibu negara selepas dia menerima rawatan kesan kebakaran pada dada dan tangan, kata Bakri.

Kesan itu dipercayai dialami ketika serangan ke atas gereja itu.

Katanya, tujuh yang lain ditahan di beberapa kawasan di Lembah Klang selepas penahanan pertama.

Tiga suspek termasuk yang cedera itu mempunyai hubungan kekeluargaan - dua beradik dan seorang bapa saudara. Mereka bekerja sebagai kerani perkhidmatan penghantaran.

“Penangkapan terakhir dibuat 7.30 pagi ini. Tiga daripada suspek dipercayai ada hubungan persaudaraan di mana dua adalah adik-beradik dan bapa saudara mereka... yang baki lima merupakan rakan mereka,” kata Bakri.

Bakri menjelaskan penahanan itu masih baru dan oleh yang demikian mereka memerlukan masa untuk menjalankan siasatan secara mendalam.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan butiran berkaitan dengan latar belakang kaum dan kewarganegaraan suspek-suspek yang ditahan itu.

“Kes ini masih disiasat. Jadi saya berharap orang ramai akan memberikan kami masa untuk menjalankan siasatan dengan rapi.

“Jika kami ada lebih banyak maklumat, kami akan mengambil tindakan perlu,” katanya lagi.

Bagaimanapun berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh polis, kesemua suspek yang ditahan merupakan “pemuda Melayu dalam lingkungan 20-an yang kini tinggal di kawasan Ampang.”

Kenyataan itu yang diberikan sejurus selepas sidang media beliau mengesahkan bahawa serangan ke atas Gereja Metro Tabernacle dikenalikan oleh kira-kira 10 orang.

“Suspek-suspek ini beredar dengan menaiki kereta dan motosikal selepas serangan dilakukan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan kerjasama dengan kami bagi membolehkan penahanan ini dilakukan.

“Pada masa yang sama saya hendak memberi amaran kepada beberapa pihak. Berikan polis satu peluang untuk menjalankan siasatan.

“Jangan kaitkan suspek-suspek dengan kumpulan-kumpulan tertentu. Jangan ambil apa-apa tindakan tidak wajar,” katanya.

“Polis berada di sini untuk memastikan keselamatan dan keharmonian negara terpelihara,” kata Bakri.

Tambah beliau kes itu disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan, melakukan serangan menggunakan bahan api atau letupan dengan tujuan mahu mendatangkan kerosakan.

Dengan penahanan mereka, kata beliau, polis percaya kes itu telah selesai.

Gereja Metro Tabernacle merupakan antara premis yang musnah teruk dalam kejadian serangan dan kerja vandalisme ke atas rumah-rumah ibadat, yang dilihat berhubung kait dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald menggunakan kalimah “Allah”.

Ia juga merupakan gereja pertama diserang.

Sebelum ini, polis percaya lebih daripada dua suspek terlibat dalam kejadian membakar gereja itu.

Ia berdasarkan maklumat saksi yang ternampak dua motosikal diletakkan berhampiran gereja tersebut kira-kira 12 tengah malam pada hari kejadian.

Saksi juga nampak kelibat satu lembaga melemparkan sesuatu ke arah gereja tersebut sebelum berlaku letupan yang memusnahkan hampir 80 peratus ruang tingkat bawah gereja tiga tingkat itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun selain boleh dikenakan denda.

Gereja Metro Tabernacle beroperasi sejak 12 tahun lepas dan mempunyai 1,500 jemaah. themalaysianinsider

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin