01 December 2009
Fitnah Husam, NST diberi tempoh 10 hari
Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan Datuk Husam Musa hari ini menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai respon berhubung persetujuan Najib berunding dengan kerajaan negeri Kelantan.
Surat tersebut antara lain memohon pertemuan segera antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan tuntutan royalti negeri itu.
Ekoran itu, Husam yang juga exco kerajaan negeri juga telah bertemu dengan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memohon agar satu pertemuan diatur di antara wakil kerajaan Kelantan dengan Jabatan Perdana Menteri JPM.
"Oleh kerana perdana menteri semalam telah menyatakan persetujuan untuk berunding, saya bagi pihak kerajaan negeri Kelantan selaku Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan yang dilantik oleh exco telah menghantar surat kepada perdana menteri hari ini,"
"Tadi juga saya telah berjumpa Ketua Penerangan Umno Malaysia Datuk Ahmad Maslan mohon jasa baik supaya diatur perjumpaan dan perundingan di antara wakil kerajaan negeri dengan Jabatan Perdana Menteri sendiri dalam isu tuntutan royalti ini," katanya dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi.
Beliau turut menjelaskan mengenai 'doa' Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menurutnya telah dimanipulasi oleh media arus perdana dengan mengambil sebahagian sahaja daripada ucapan Nik Aziz.
"Doa Tok Guru (Nik Aziz) bukan terus minta jatuhkan hukuman ke atas perdana menteri tetapi mengenai supaya perdana menteri berbesar hati untuk berunding dan mempertimbangkan bayaran royalti terhadap kerajaan negeri.Jika selepas satu masa beliau masih enggan (berbuat demikian) barulah tok guru minta supaya Allah letakkan bala kepada perdana menteri,"
"Tetapi media telah ambil sebahagian sahaja daripada ucapan tersebut dan telah memanipulasikan bahagia terakhir ucapan itu untuk menggambarkan Menteri Besar Kelantan hanya sukakan konfrantasi dengan perdana menteri," jelasnya.
Jumaat lepas, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata beliau akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Najib dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.
Nik Aziz juga dilaporkan telah menjelaskan kenyataannya itu.
Husam dalam sidang media yang sama memberitahu, beliau melalui peguamnya memberi tempoh selama sepuluh hari kepada News Straits Time Berhad (NSTP) untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung salah lapor akhbar berkenaan.
Beliau turut menuntut bayaran saguhati daripada NSTP di atas salah lapor berkenaan.
Akhbar berkenaan baru baru ini, Husam dilaporkan akan meletak jawatannya sebagai exco kerajaan negeri.
"Saya telah meminta peguam saya menghantar ‘Letter Of Demand’ kepada NST dan NST telah pun menjawab kepada peguam saya.Mereka meminta satu tempoh sebelum tindakan lanjut diambil ke atas mereka.Saya menganggap ini perkembangan yang positif,"
"Saya beri tempoh kepada NST 10 hari lagi untuk apa-apa penyelesaian.Surat dihantar pada 23 november dan NST jawab pada 26 november," jelasnya.
Beliau akan memfailkan saman malu ke atas NST jika tiada permohonan maaf itu tidak dibuat dalam tempoh yang ditetapkan kerana mendakwa laporan berkenaan telah menjejaskan reputasinya sebagai exco.
"Berita ini telah menjejaskan saya dengan teruk sekali.Di Kelantan hampir saban hari perbincangan mengenai isu ini berlanjutan dan sudah tentu komen-komen, telefon, sms, emel, dan macam-macam lagi perkara telah menyebabkan satu gangguan yang tidak sepatutnya berlaku," tegasnya.
Muka hadapan Mingguan Malaysia juga sebelum itu telah melaporkan kononnya HUsam akan meletakkan jwatan sebagai exco dan telah dinasihatkan bercuti selama lima hari untuk menenangkan fikiran.
"Alhamdulillah fikiran saya masih tenang, saya rasa tak perlulah suratkhabar meletakkan saya kononnya dalam keadaan kurang tenang fikiran," katanya.- Hrkh
Mahkamah tolak permohonan Anwar batal tuduh liwat
Makamah Tinggi hari ini menolak permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengugurkan pendakwaan liwat yang beliau hadapi.Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan perbicarana Anwar Ibrahim akan bermula pada 25 Januari hingga 25 Februari tahun depan.
Hakim Zabidin ketika membuat keputusan berkata hanya melalui perbicaraan penuh maka liwat benar-benar berlaku atau tidak seperti mana yang dituduh oleh pendakwaraya.
Jika Anwar didapati bersalah beliau menghadapi penjara 20 tahun.
Presiden PAS: Tindakan Nik Aziz gambaran ikhlas dan jiwa besar
Kenyataan akhbar Presiden PASKeputusan yang diambil oleh Tok Guru Mursyidul Am PAS dengan meminta menantu beliau Ir. Abdul Ariffahmi Abd Rahman untuk meletakkan jawatan dari kedudukan sebagai CEO PMBK adalah jelas merupakan satu tanda keikhlasan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh Tok Guru yang bersedia menerima keputusan parti.
Sifat berjiwa besar ini juga ditunjukkan oleh seluruh ahli keluarga beliau yang bersabar dengan ujian yang dan ini sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang tidak boleh dirombak dan dirungkaikan.
Kita juga berhadapan dengan undang-undang manusia yang seringkali menjatuhkan hukuman dengan tidak adil – iaitu hukuman telah dijatuhkan sebelum maklumat sepenuhnya diperolehi dari sumber yang amanah dan benar.
Benarlah keadaan yang digambarkan oleh Rasulullah saw “Akan berlaku di akhir zaman keadaan yang celaru, orang amanah dikatakan khianat, orang khianat dikatakan amanah, orang benar dikatakan bohong dan orang bohong dikatakan benar”.
Kita dapati Tok Guru selaku Pengerusi PMBK telah menjalankan pelantikan yang ikhlas.
Apa yang kurangnya ialah mereka yang bertugas di sekeliling yang tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada Tok Guru.
Kita dapati bahawa selama 19 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, Tok Guru selaku Menteri Besar dan ahli keluarganya tidak pernah mengambil peluang dari jawatan yang diamanahkan ini.
Seluruh ahli PAS menjunjung tinggi keikhlasan Tok Guru dalam menjalankan amanah yang sangat besar dan berat ini.
Kita juga sangat hairan dengan sikap orang yang menyerang Tok Guru ini kerana mereka berdiam diri pula dengan membiarkan kesalahan dan ketidakadilan terhadap rakyat yang dilakukan oleh para pimpinan UMNO dan BN sewenang-wenangnya.
Kita berharap agar Tok Guru dan keluarga bersabar dengan ujian masyarakat yang tidak memahami keadaan sebenar yang berlaku.
Kita mengharapkan agar mereka yang suka menyebarkan api kebencian agar segera bertaubat kerana sabda Rasulullah saw “Barangsiapa yang bermusuh dengan orang-orang yang mentaati perintahku maka aku mengisytiharkan kemurkaan yang sekeras-kerasnya”.
Saya juga menyeru seluruh ahli PAS agar berbangga dengan keputusan Tok Guru beserta ahli keluarganya yang bersedia menerima keputusan parti, dan marilah kita bersama-sama dengan Tok Guru dalam menghadapi ujian fitnah media yang tidak putus-putus dan cubaan musuh untuk meletakkan kerajaan PAS di Kelantan dalam keadaan tidak tenteram.
Marilah kita sama-sama mempertahankan kerajaan yang telah dibina di atas dasar amanah Allah ini dengan seluruh tenaga yang kita ada.
Presiden PAS
Abdul Hadi Awang
Himpunan depan SUK Kelantan: Tak Sampai 200 Orang, FRU bersiap sedia.
Jemaah Prihatin protes Nik Aziz, polis kawal Kota Darul Naim
Hampir 200 anggota kumpulan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan mengadakan tunjuk perasaan di Kota Darul Naim pagi ini bagi memprotes tindakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendoakan kecelakaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno kerana keengganan kerajaan persekutuan membayar royalti.
Kumpulan itu mula tiba di pusat pentadbiran kerajaan negeri itu kira-kira pukul 10 pagi dan bersurai lebih satu jam kemudian selepas selesai menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Anual Bakri Haron.
Sebelum itu, pihak polis mula berkawal di depan pusat pentadbiran kerajaan Kelantan seawal pukul 9 pagi sebagai persiapan menghadapi perhimpunan membantah kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Semalam satu mesej bersebaran melalui SMS menggesa ahli-ahli Umno berhimpun supaya menyokong protes itu.
Bagaimanapun, seorang pemimpin Pemuda Umno Kelantan menegaskan protes itu yang juga bertujuan mendesak Nik Aziz meletakkan jawatan adalah inisiatif NGO tersebut.
The Malaysian Insider difahamkan, para pemimpin PAS menuduh Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali sebagai dalang di sebalik protes itu.
Bagaimanapun, MP bebas yang bertanding di bawah tiket parti Islam itu tahun lalu menafikannya.
"Kalau ada apa-apa masalah di Kelantan mesti saya disalahkan, saya tak terlibat, saya di Parlimen hari ini, kalau saya anjur mesti saya yang duduk depan," kata Ibrahim yang turut mengkritik doa Nik Aziz sebelum ini.
Nik Aziz dalam khutbah Aidiladha Jumaat lalu menggesa para jemaah supaya berdoa agar hati Najib dibuka untuk membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan.
Beliau juga berkata akan mendoakan kecelakaan Najib dan Umno sekiranya royalti minyak itu tidak dibayar.
Doa kontroversi Nik Aziz itu telah digunakan oleh pemimpin Umno untuk menekan Mursyidul Am PAS itu.
Hari ini akhbar parti Melayu itu, Utusan Malaysia menyiarkan laporan yang menggesa Nik Aziz supaya berundur kerana telah menimbulkan kegelisahan kepada umat Islam.
Nik Aziz sejak awal bulan ini dihantui kontroversi perlantikan menantunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan menunaikan haji ke Mekah.
Atas tekanan awam dan kepimpinan partinya, Nik Aziz bertindak mengarahkan menantunya Ariffahmi Abdul Rahman supaya meletakkan jawatan dan telah membatalkan rancangan untuk ke Mekah.
Kontroversi yang melanda pentadbirannya itu telah menimbulkan perbincangan tentang rancangan peralihan kuasa kerajaan Kelantan oleh kepimpinan parti negeri. themalaysianinsider
Himpunan depan SUK, Pemuda PAS Kelantan lapor Polis
Klik pada imej
KOTA BAHRU : Satu laporan polis telah dibuat Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) malam tadi di balai polis Kota Bahru berikutan khabar angin yang mengatakan satu perhimpunan akan diadakan di depan bangunan Sekriteriat Kerajaan Negeri SUK, Kota Darul Naim pagi ini.Khabar angin yang disebar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula semalam itu mendakwa perhimpunan tersebut akan di adakan jam 10 pagi ini.
Bendahari DPPNK, Wan Azimin Wan Adnan, ditemani oleh beberapa orang peguam, dilihat memasuki balai polis Kota Bahru, jam 10.30 malam tadi.
Dalam kenyataan media selepas itu, Naib Ketua Pemuda DPPNK, Hisam Fauzi memberitahu, pihak mereka mendapat tahu perhimpunan berkenaan dianjurkan oleh satu kumpulan yang dikenali sebagai Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan.
“Saya tidak pasti sama ada kumpulan ini berdaftar atau tidak, tetapi kami dimaklumkan bahawa himpunan haram ini dianjurkan oleh satu kumpulan yang dikenali sebagai Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan,” ujarnya.
“Oleh itu, DPPNK mengesa pihak polis supaya mengambil tindakan pencegahan bagi mengelak perhimpunan ini,” ujarnya lagi.
Hisam menambah, usaha mengadakan himpunan ini adalah bertujuan politik bagi mengangu gugat kestabilan politik negeri ini dan pentadbiran Menteri Besar.
Tambahnya lagi, DPPNK kesal dengan beberap tindakan sejak kebelakangan ini yang menyerang Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang cuba memberi imej yang buruk kepada beliau.
DPPNK juga menyatakan sokongan yang teguh kepada Menteri Besar dan memberi sokongan yang penuh ke atas pentadbiranya. Rizal Tahir (Hrkh)
DPPNK Buat Laporan Polis - luhampas
DPPNK Buat Laporan Polis - al-Kubrawiyyah
Subscribe to:
Posts (Atom)


