01 December 2009

Presiden PAS: Tindakan Nik Aziz gambaran ikhlas dan jiwa besar

Kenyataan akhbar Presiden PAS

Keputusan yang diambil oleh Tok Guru Mursyidul Am PAS dengan meminta menantu beliau Ir. Abdul Ariffahmi Abd Rahman untuk meletakkan jawatan dari kedudukan sebagai CEO PMBK adalah jelas merupakan satu tanda keikhlasan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh Tok Guru yang bersedia menerima keputusan parti.

Sifat berjiwa besar ini juga ditunjukkan oleh seluruh ahli keluarga beliau yang bersabar dengan ujian yang dan ini sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang tidak boleh dirombak dan dirungkaikan.

Kita juga berhadapan dengan undang-undang manusia yang seringkali menjatuhkan hukuman dengan tidak adil – iaitu hukuman telah dijatuhkan sebelum maklumat sepenuhnya diperolehi dari sumber yang amanah dan benar.

Benarlah keadaan yang digambarkan oleh Rasulullah saw “Akan berlaku di akhir zaman keadaan yang celaru, orang amanah dikatakan khianat, orang khianat dikatakan amanah, orang benar dikatakan bohong dan orang bohong dikatakan benar”.

Kita dapati Tok Guru selaku Pengerusi PMBK telah menjalankan pelantikan yang ikhlas.

Apa yang kurangnya ialah mereka yang bertugas di sekeliling yang tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada Tok Guru.

Kita dapati bahawa selama 19 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, Tok Guru selaku Menteri Besar dan ahli keluarganya tidak pernah mengambil peluang dari jawatan yang diamanahkan ini.

Seluruh ahli PAS menjunjung tinggi keikhlasan Tok Guru dalam menjalankan amanah yang sangat besar dan berat ini.

Kita juga sangat hairan dengan sikap orang yang menyerang Tok Guru ini kerana mereka berdiam diri pula dengan membiarkan kesalahan dan ketidakadilan terhadap rakyat yang dilakukan oleh para pimpinan UMNO dan BN sewenang-wenangnya.

Kita berharap agar Tok Guru dan keluarga bersabar dengan ujian masyarakat yang tidak memahami keadaan sebenar yang berlaku.

Kita mengharapkan agar mereka yang suka menyebarkan api kebencian agar segera bertaubat kerana sabda Rasulullah saw “Barangsiapa yang bermusuh dengan orang-orang yang mentaati perintahku maka aku mengisytiharkan kemurkaan yang sekeras-kerasnya”.

Saya juga menyeru seluruh ahli PAS agar berbangga dengan keputusan Tok Guru beserta ahli keluarganya yang bersedia menerima keputusan parti, dan marilah kita bersama-sama dengan Tok Guru dalam menghadapi ujian fitnah media yang tidak putus-putus dan cubaan musuh untuk meletakkan kerajaan PAS di Kelantan dalam keadaan tidak tenteram.

Marilah kita sama-sama mempertahankan kerajaan yang telah dibina di atas dasar amanah Allah ini dengan seluruh tenaga yang kita ada.

Presiden PAS
Abdul Hadi Awang

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin