01 December 2009

Fitnah Husam, NST diberi tempoh 10 hari



Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan Datuk Husam Musa hari ini menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai respon berhubung persetujuan Najib berunding dengan kerajaan negeri Kelantan.

Surat tersebut antara lain memohon pertemuan segera antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan tuntutan royalti negeri itu.

Ekoran itu, Husam yang juga exco kerajaan negeri juga telah bertemu dengan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memohon agar satu pertemuan diatur di antara wakil kerajaan Kelantan dengan Jabatan Perdana Menteri JPM.

"Oleh kerana perdana menteri semalam telah menyatakan persetujuan untuk berunding, saya bagi pihak kerajaan negeri Kelantan selaku Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan yang dilantik oleh exco telah menghantar surat kepada perdana menteri hari ini,"

"Tadi juga saya telah berjumpa Ketua Penerangan Umno Malaysia Datuk Ahmad Maslan mohon jasa baik supaya diatur perjumpaan dan perundingan di antara wakil kerajaan negeri dengan Jabatan Perdana Menteri sendiri dalam isu tuntutan royalti ini," katanya dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau turut menjelaskan mengenai 'doa' Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menurutnya telah dimanipulasi oleh media arus perdana dengan mengambil sebahagian sahaja daripada ucapan Nik Aziz.

"Doa Tok Guru (Nik Aziz) bukan terus minta jatuhkan hukuman ke atas perdana menteri tetapi mengenai supaya perdana menteri berbesar hati untuk berunding dan mempertimbangkan bayaran royalti terhadap kerajaan negeri.Jika selepas satu masa beliau masih enggan (berbuat demikian) barulah tok guru minta supaya Allah letakkan bala kepada perdana menteri,"

"Tetapi media telah ambil sebahagian sahaja daripada ucapan tersebut dan telah memanipulasikan bahagia terakhir ucapan itu untuk menggambarkan Menteri Besar Kelantan hanya sukakan konfrantasi dengan perdana menteri," jelasnya.

Jumaat lepas, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata beliau akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Najib dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.
Nik Aziz juga dilaporkan telah menjelaskan kenyataannya itu.

Husam dalam sidang media yang sama memberitahu, beliau melalui peguamnya memberi tempoh selama sepuluh hari kepada News Straits Time Berhad (NSTP) untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung salah lapor akhbar berkenaan.

Beliau turut menuntut bayaran saguhati daripada NSTP di atas salah lapor berkenaan.

Akhbar berkenaan baru baru ini, Husam dilaporkan akan meletak jawatannya sebagai exco kerajaan negeri.

"Saya telah meminta peguam saya menghantar ‘Letter Of Demand’ kepada NST dan NST telah pun menjawab kepada peguam saya.Mereka meminta satu tempoh sebelum tindakan lanjut diambil ke atas mereka.Saya menganggap ini perkembangan yang positif,"

"Saya beri tempoh kepada NST 10 hari lagi untuk apa-apa penyelesaian.Surat dihantar pada 23 november dan NST jawab pada 26 november," jelasnya.

Beliau akan memfailkan saman malu ke atas NST jika tiada permohonan maaf itu tidak dibuat dalam tempoh yang ditetapkan kerana mendakwa laporan berkenaan telah menjejaskan reputasinya sebagai exco.

"Berita ini telah menjejaskan saya dengan teruk sekali.Di Kelantan hampir saban hari perbincangan mengenai isu ini berlanjutan dan sudah tentu komen-komen, telefon, sms, emel, dan macam-macam lagi perkara telah menyebabkan satu gangguan yang tidak sepatutnya berlaku," tegasnya.

Muka hadapan Mingguan Malaysia juga sebelum itu telah melaporkan kononnya HUsam akan meletakkan jwatan sebagai exco dan telah dinasihatkan bercuti selama lima hari untuk menenangkan fikiran.

"Alhamdulillah fikiran saya masih tenang, saya rasa tak perlulah suratkhabar meletakkan saya kononnya dalam keadaan kurang tenang fikiran," katanya.- Hrkh

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin