11 December 2009

Tolak kes saman Anwar kerana guna Bahasa Inggeris tidak relevan



Penolakan mahkamah terhadap kes saman fitnah RM100 juta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Tun Mahathir Mohamad kerana menggunakan bahasa Inggeris dianggap tidak relevan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.

Alasan mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu merupakan alasan lemah sedangkan pelbagai cara boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah itu.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, alasan penolakan kes saman itu disebabkan menggunakan bahasa Inggeris adalah tidak relevan sama sekali kerana institusi kehakiman sememangnya berasal daripada bahasa Inggeris dan itu lebih memudahkan untuk difaham.

“ Kes Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak dalam bahasa Inggeris adalah alasan yang lemah kerana dalam sesuatu institusi kehakiman, yang berpaksikan, yang mengambil panduan daripada sistem British, ia memang asalnya dalam Bahasa Inggeris, jadi kita cuba memelayukannya. Mungkin ada terminologi-terminologi yang lebih tepat atau lebih mudah dalam bahasa Inggeris”.

Katanya lagi, institusi kehakiman harus mempunyai budi bicara apatah lagi penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan para peguam, hakim, malah mereka yang terlibat dalam kes ini bukanlah sesuatu yang asing.

“ Mesti ada kelonggaran di sini kerana institusi kehakiman itu bukan tahap sekolah rendah. Mereka semua yang pakar-pakar ,yang hebat-hebat, ada kelulusan yang tinggi-tinggi, jadi bukan menjadi bukan kesalahanlah tetapi tidak munasabah menggunakan alasan itu menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim”.

Sementara itu, ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar juga bersetuju, alasan yang digunapakai oleh mahkamah rayuan itu bukanlah keputusan yang bijak.

“ Ya lah saya agak terkejut hanya bersandarkan kepada isu bahasa Inggeris walaupun kita tahu kita harus memartabatkan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia, tetapi dalam kes-kes yang seperti ini tidak seharusnya diambil satu tindakan untuk kita menolak”.

Mahfuz menyifatkan tindakan mahkamah yang hanya bersandarkan kepada isu bahasa Inggeris semata-mata tidak relevan.

Menurutnya, mahkamah mempunyai banyak inisiatif untuk menyelesaikan masalah penggunaan Bahasa Inggeris Anwar dalam memfailkan kes fitnah berkenaan dan bukannya dengan menolak kes tersebut.

“ Apa salahnya kalau mahkamah sendiri bukannya menolak tetapi harus mencadangkan supaya disediakan satu lampiran bahasa Malaysia yang boleh diserahkan kemudian kepada mahmakah” tambahnya lagi.

Malah ujarnya, tindakan mahkamah itu sekali lagi mencalarkan imej institusi kehakiman itu yang semakin diragui kredibiliti itu dan memberikan persepsi negatif bahawa mahkamah di peralatkan bagi kepentingan barisan Nasional untuk menolak rayuan Anwar.

“ Dengan isu ini, orang melihat mahkamah telah diperalatkan untuk kepentingan Barisan Nasional khususnya Tun Mahathir untuk menolak rayuan yang dibuat oleh Datuk seri Anwar Ibrahim”.

Menurut penghakiman bertulis, Mahkamah Rayuan semasa menolak rayuan Anwar dalam saman fitnah RM100 juta terhadap Tun Dr Mahathir, peguam-peguam terikat dengan ketetapan menggunakan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia dalam prosiding mahkamah.

Hakim Abdul Malik Ishak dalam penghakiman setebal 31 muka surat bertarikh Nov 2 menyebut Bahasa Malaysia mesti digunakan bukan sahaja semasa prosiding tetapi juga dalam memfailkan dokumen-dokumen mahkamah.

Terdahulu pada 10 Oktober lepas, Hakim Abdul Malik, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azhar Ma’ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, menolak rayuan Anwar atas alasan memorandum rayuan difailkan Anwar dalam bahasa Inggeris adalah cacat, tidak sah dan mencabuli proses mahkamah. - selangorkini

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese