24 December 2009

Terengganu belum tandatangani perjanjian royalti petrol

Kerajaan Terengganu tidak akan menandatangani sebarang perjanjian berhubung royalti petrol selagi Kerajaan Persekutuan tidak mahu membayar RM2.792 billion yang dituntut untuk tempoh bermula dari tahun 2000 hingga 2009.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri menolak tawaran pembayaran royalti yang dibuat Kementerian Kewangan sebanyak RM1.686 bilion berbanding dengan tuntutan yang sepatutnya diperolehi oleh Terengganu bagi tempoh berkenaan.

"Sebab itu, kita masih berunding dengan kerajaan pusat berhubung penyelesaian pembayaran royalti petroleum kepada negeri ini yang masih tertangguh.

"Kita memang nak selesaikan secepat mungkin, tetapi terdapat beberapa perkara dalam perjanjian itu yang masih tidak dapat dipersetujui kedua-dua pihak.

"Saya tidak mahu jelaskan perkara baru yang dapat dipersetujui oleh kerana bimbang akan menjejaskan perundingan yang sedang berlangsung," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.
Ahmad berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) mengenai perkembangan terkini proses pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan Terengganu.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan wang royalti dimulakan pada 16 Sept 2008 antara tiga pihak iaitu kerajaan pusat, kerajaan negeri Terengganu dan Petronas.

"Saya telah jelaskan secara terperinci kepada Perdana Menteri ketika itu bahawa perlunya kerajaan pusat mengembalikan hak rakyat Terengganu mengikut perjanjian asal," katanya memetik laporan Bernama

Katanya mesyuarat itu mengandungi tiga intipati, iaitu royalti dibayar terus oleh Petronas kepada kerajaan negeri; semua pembayaran yang telah dibuat oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan antara 2000 hingga 2009 adalah
dianggap sebagai pembayaran royalti kepada Terengganu dan kerajaan negeri menarik balik saman terhadap Petronas.

Mesyuarat itu juga bersetuju untuk membincangkan komponen perbelanjaan yang telah dibuat oleh kerajaan persekutuan tetapi perlu dibayar balik oleh Kementerian Kewangan kepada kerajaan negeri.

Mesyuarat terakhir berlangsung di Kuala Terengganu pada 18 Ogos 2009 dan sehingga tarikh itu, Kementerian Kewangan memperincikan iaitu, sepanjang 2000 hingga Mac 2009, kementerian itu telah menerima sebanyak RM15.847 bilion daripada Petronas dan jumlah pengeluarannya sebanyak RM16.576 bilion.

"Perbincangan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan telah berjalan sekian lama dan pihak kementerian masih tidak berganjak dengan keputusan awal untuk membayar balik RM1.686 bilion sahaja.

"Sedangkan tuntutan kerajaan negeri pada ketika ini berjumlah RM2.792 bilion setelah ditolak perbelanjaan yang dibelanjakan di negeri Terengganu. Itulah senarai yang kita putuskan dan kita berharap rundingan dapat
diselesaikan," katanya. freemalaysiatoday

1 comment:

LanaBulu said...

orang tamak selalu rugi...
Tapi kenapa susah sangat pusat nak lepaskan sekiranya jumlah itu adalah benar..?
Atau pun ada yg tak pandai mengira..?

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin