14 December 2009

Skandal PKFZ: Bekas Pengurus Projek KDSB Didakwa



Bekas pengurus Projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Law Jenn Dong, 51, hari ini dihadapkan ke Mahkmah Sesyen Klang terhadap 24 pertuduhan membuat tuntutan palsu ekoran skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Law didakwa membuat tuntutan bernilai lebih 116 juta ringgit kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) antara 29 September 2006 hingga Mei 2008.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan selepas kesemuanya dibaca di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Law didakwa bertanggungjawab mendapatkan tuntutan sebanyak 116 juta ringgit dari LPK bagi dua projek PKFZ.

Kesemua 24 pertuduhan yang dihadapinya melibatkan sembilan kerja-kerja elektrik dan infrastruktur manakala 15 lagi merangkumi kerja-kerja sistem.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebas dengan ikat jamin 250 ribu ringgit dengan seorang penjamin serta menetapkan 4 Februari tahun hadapan untuk sebutan kes.

Mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan Law boleh dikenakan hukuman 2 tahun penjara dan sebatan serta denda.

Law merupakan individu keempat diheret ke mahkamah berhubung kes berprofil tinggi itu.

Khamis lalu, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datin Paduka OC Phang turut didakwa pecah amanah membabitkan wang 254.85 juta ringgit.

Turut didakwa, Pegawai Ketua Operasi KDSB Stephen Abok yang menghadapi 2 pertuduhan membuat tuntutan palsu bernilai 5.41 juta ringgit dan arkitek Bernard Tan Seng Swee yang menghadapi 26 pertuduhan bernilai 122.3 juta ringgit. - NIZAM

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese