07 December 2009

Isyarat mesej Mahathir Umno makin kritikal — Pemuda PAS

Zukri Aksah

Baru-baru ini bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) dalam tulisannya telah mengutarakan pandangan yang Umno kini sudah sampai tahap busuk hingga ke usus.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang pelik memandangkan Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad pernah mencerekakan kebusukan Umno dalam novelnya paling kontroversi, Shit pada akhir 1990-an. Ironinya, novel Shahnon ini ditulis ketika Dr Mahathir masih berjawatan sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Mengulas tentang ini, Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan Tantawi menyifatkan ia tanda Umno berada dalam keadaan sangat kritikal walaupun pada zahirnya kelihatan Datuk Seri Najib Razak, Presiden Umno dan Perdana Menteri sedang berusaha memulihkan parti itu ekoran prestasi dalam pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Bagi Nasrudin, Dr Mahathir sudah tentu tidak akan menyiarkan pandangan bekas pemimpin kanan Umno tersebut sekiranya pandangan tersebut, yang berdasarkan komen seorang bekas pemimpin kanan parti, tiada wibawa dan tidak berasaskan bukti-bukti kukuh.

Dr Mahathir melahirkan pandangannya dalam blog beliau awal minggu lalu.

Nyata kehadiran Najib di puncak kepimpinan dengan idea-idea baru yang pada satu ketika nampak mempersonakan sebenarnya adalah perjuangan dan pertarungan Umno itu sendiri secara keseluruhannya untuk terus hidup dan bernafas.

Tambah Nasrudin, pendedahan berani Dr Mahathir ini meletakkan kepimpinan Najib dengan slogan 1 Malaysia di ambang kegagalan.

Usaha pembaharuan Najib, jelas Nasrudin sudah sangat terlambat kerana seperti kata Dr Mahathir, busuknya Umno ini sudah sampai ke usus.

Ini ketara dengan merudumnya kedudukan indeks rasuah negara ke tangga 52, pemilihan kalangan yang terpalit dengan rasuah sebagai pemimpin Umno dan pengurusan dana kerajaan yang tidak betul sebagaimana didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Sehubungan itu, Nasrudin menyeru agar rakyat mula membuka mata dan melihat bahawa Umno hanya berseloka dan slogan serta kata-kata indah yang dihamburkan cuma bertujuan memujuk dan menghiburkan hati.

Kenyataan Dr Mahathir, tegas Nasrudin bukanlah kenyataan penjual ubat kurap di tepi jalan.

Dr Mahathir adalah arkitek kepada penubuhan Umno Baru. Maka ia harus diperhatikan.

Kenyataan pedas Dr Mahathir ini jika dilihat senada dengan cadangan drastik Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Seri Tengku Ahmad Rithauddeen yang pernah menggagaskan supaya biro dan sayap-sayap dalam Umno iaitu Putera, Pemuda, Wanita dan Puteri dibubarkan.

Mungkin ini adalah cara membersihkan usus yang bermasalah yang pernah difikirkan oleh pemimpin veteran itu.

1 comment:

armouris said...

Rahsia awet muda Tun Dr. Mahathir? - Rahsia Muda Dr. Mahathir

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin